UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Empat Ketua Pemuda UMNO Bahagian di Selangor tampil memberi keterangan kepada jawatankuasa bagi menyiasat aduan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) di Parlimen tengah hari ini.
Mereka ialah Ketua Pemuda Petaling Jaya Utara, Latt Sharizan Abdullah; Azahari Shaari (Shah Alam), Megat Zulkarnain Omardin (Gombak) dan Ungku Salleh Ungku Mohd. Jamal (Serdang).
Mereka dilihat memasuki salah sebuah bilik mesyuarat di Parlimen pada pukul 1.20 petang bagi memberi keterangan kepada jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Mereka memberi keterangan selama kira-kira 45 minit sebelum dilihat keluar dari bilik itu. Hari ini merupakan kali ketiga jawatankuasa itu bersidang.
Jawatankuasa itu bermesyuarat pada hari Rabu lalu dan semalam.
Bagaimanapun, pihak media tidak berjaya mendapatkan hasil butiran prosiding tersebut daripada anggota-anggota jawatankuasa berkenaan.
Usaha untuk mendapatkan ulasan Pandikar Amin juga gagal.
Exco Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang juga ahli Parlimen Jerlun pada sidang akhbar kemudiannya memberitahu, para Ketua Pemuda itu tidak dibenarkan mendedahkan apa yang berlaku ketika prosiding tersebut.
Namun, beliau menegaskan, ahli-ahli sayap itu sentiasa bertanggungjawab dalam menghadapi segala pertuduhan ke atas mereka.
Beliau berkata, kehadiran empat Ketua Pemuda UMNO bahagian dari Selangor itu membuktikan sikap bertanggungjawab mereka.
"Kehadiran mereka membuktikan kita tidak pernah lari daripada tanggungjawab dan ia sebenarnya memberi peluang kepada mereka untuk memberi penjelasan.
"Saya kira sekarang ini terletak di tangan jawatankuasa khas tersebut untuk mengambil tindakan seperti mana yang diharap-harapkan," katanya.
Selain Pandikar Amin, jawatankuasa itu turut dianggotai tiga ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu), Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah), Datuk Nancy Shukri (BN-Batang Sadong).
Sebelum ini, ia turut dianggotai Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor), R. Sivarasa (PKR-Subang) dan Datuk Kamarudin Jaffar (Pas-Tumpat) sebelum mereka memboikot jawatankuasa itu bermula semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan