MSTAR ONLINE
[DIKEMAS KINI]
KUALA LUMPUR: MCA, salah satu parti komponen utama dalam Barisan Nasional (BN) menyambut ulang tahun ke-60 penubuhannya hari ini, menggesa agar amalan benci-membenci di kalangan rakyat pelbagai kaum, ekoran sifat fanatik, dihentikan.
Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, masanya telah tiba bagi semua rakyat Malaysia untuk memahami dan menghormati antara satu sama lain dan dalam hubungan ini.
Malah, beliau yang menyentuh pelbagai aspek dalam ucapannya menggesa pemimpin dan anggota parti itu supaya lebih proaktif memainkan peranan dalam menangani masalah ekonomi negara.
Ong berkata, MCA mesti menolak penyelesaian jangka pendek dan sedikit demi sedikit, sebaliknya mengutarakan idea yang terbaik supaya dapat dimanfaatkan oleh rakyat dan negara.
Sambil menegaskan bahawa MCA berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia, beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, bantuan dan pakej rangsangan ekonomi hendaklah disalurkan kepada rakyat yang benarbenar memerlukannya.
"Siapa yang mendapat manfaat dan bagaimana kita nak pastikan mereka akhirnya mendapatnya?
"Akauntabiliti dan ketelusan mesti menjadi amalan biasa dan mengambil tempat karenah birokrasi, kelewatan dan kebocoran yang menghalang usaha murni bagi mengurangkan jurang pendapatan," katanya.
Tegas Ong, dalam usaha untuk menambah punca rezeki rakyat, parti itu akan memperkenal pembiayaan kewangan dalam skim mikro kredit dan industri kecil dan sederhana bagi rakyat Malaysia berdasarkan kepada inovatif dan semangat mereka untuk maju "dan bukan melalui siapa yang mereka kenal dan rapat".
"Untuk berbuat demikian, kita mesti sentiasa fokus dan relevan dalam membuat dasar negara dan penyampaian awam kerana kita sebahagian daripada kerajaan," katanya.
Bercakap di hadapan kira-kira 4,000 anggota parti, Ong berkata, sebagai rakan utama dalam BN, MCA mampu dan perlu kelihatan sebagai memainkan peranan penting dalam membuat keputusan penting dan pelaksanaannya.
"Kita mesti keluar dari zon selesa yang menggunakan sumber untuk tujuan yang tidak berkaitan dengan politik," katanya.
Menurut Ong, "Kempen Beli Barangan Malaysia" yang dilancarkan pada 1998 merupakan inisiatif parti yang perlu dibanggakan dan disamping memainkan peranan penting dalam melindungi banyak perniagaan tempatan dan pekerjaan semasa kemelesetan ekonomi, ia menunjukkan MCA telah berusaha dalam mempelopori usaha kerajaan dalam membuat dasar.
Sambutan enam dekad ini diraikan dengan memperlihatkan gaya Malaysia yang tulen menerusi persembahan masyarakat pelbagai kaum negara ini.
Malah, pemimpin-pemimpin parti disambut dengan iringan kompang ketika mereka memasuki Dewan Lee San Choon, Wisma MCA di Jalan Ampang di sini pagi ini.
Sambutan juga diwarnai oleh klip video yang menggambarkan kemajuan yang dilalui oleh parti tersebut. Ia disusuli dengan majlis memotong kek.
Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dalam ucapannya menekankan keperluan menangani krisis ekonomi semasa selain secara proaktif terlibat dalam politik arus perdana dan membina hubungan mantap melibatkan pelbagai kaum.
MCA, parti politik kaum Cina terbesar di negara ini ditubuhkan pada 27 Februari 1949.
Seramai 2,500 pemimpin akar umbi berhimpun di Dewan San Choon untuk mengikuti butiran mengenai hala tuju parti itu untuk tahun-tahun akan datang - yang disampaikan oleh Presiden parti.
Ong memenangi jawatan presiden parti pada pemilihan MCA Oktober lalu.
Sambutan ini bertemakan "60 Tahun Membina Impian, Komitmen dan Perkhidmatan Sepanjang Hayat", parti itu sudah menetapkan agenda dalam usaha untuk melakukan pembaharuan bagi menjadi sebuah parti pilihan rakyat, lebih-lebih lagi selepas mengalami kekalahan paling teruk dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008 sejak negara merdeka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan