Abdul Rahim Sabri
Tinggal lagi empat lagi menjelang pemilihan ketua Pemuda Umno, para penyokong Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Mahathir masing-masing yakin peluang calon mereka untuk menang adalah cerah.
Ketua Pemuda Umno Selangor, Abdul Syukur Idrus berkata, peluang Dr Mohd Khir adalah cerah, berdasarkan kepada reaksi dan maklum balas daripada kempen pengenalan calon yang dianjurkan oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno.
Katanya, perwakilan Pemuda matang untuk memilih siapa yang akan memimpin mereka dalam pemilihan pergerakan itu.
"Pemuda matang untuk berfikir dan melihat sendiri pemimpin yang mempertahankan Pemuda Umno dan menguatkan parti.
"Perwakilan rasional dan matang untuk membuat keputusan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Abdul Syukur yang Adun Kuang berkata kesungguhan Dr Mohd Khir untuk mengukuhkan parti, terutama Pemuda, telah mendorong ramai perwakilan Pemuda yakin dengan kepimpinan beliau.
Beliau yakin Dr Mohd Khir mampu memimpin Pemuda berdasarkan rekod prestasi dan pengalamannya mentadbir Selangor.
Mengulas berhubung dakwaan rasuah dan menyeleweng dana kerajaan negeri, terhadap Dr Mohd Khir oleh Pakatan Rakyat Selangor sama ada boleh menjejaskan sokongan terhadap beliau atau tidak, Abdul Syukur berkata, dakwaan tersebut sengaja ditimbulkan untuk memburuk-burukkannya.
Selasa lalu, Lembaga Displin Umno mendapati Dr Khir Toyo yang juga ketua Umno Sungai Besar, tidak terbabit dalam rasuah atau sogokan politik atau mengadakan majlis atau pertemuan dengan perwakilan.
Peluang Mukhriz
Manakala mantan Ketua Pemuda Merbok, Abd Karim Ali pula yakin Mukhriz mampu memenangi jawatan ketua Pemuda Umno.
Berdasarkan pemerhatian dan laporan daripada akar umbi, 70 hingga 80 peratus perwakilan memihak kepada ahli Parlimen Jerlun itu, demi kepentingan masa depan orang Melayu.
"Dari segi mesej yang ingin dibawa, Datuk Mukhriz cukup konsisten, sejak pertama kali menyatakan hasratnya untuk bertanding, hinggalah sekarang, bagi memulihkan kekuatan Pemuda parti," katanya.
Tambahnya lagi, keputusan lembaga displin yang menyatakan bahawa Khairy bersalah dan diberi amaran, turut memberi kelebihan kepada ahli Parlimen Jerlun itu untuk merebut jawatan ketua pergerakan itu.
"Persepsi masyarakat dan akar umbi jelas bahawa dia bersalah. Ia memberi kelebihan kepada Datuk Mukhriz dan memberi kesan (tekanan) kepada Khairy," katanya.
Sementara itu, seorang pembantu Khairy turut mengakui bahawa ketiga-tiga calon mempunyai peluang yang sama untuk memenangi jawatan kerusi nombor wahid dalam pergerakan tersebut.
"Ketiga-tiga calon mempunyai peluang sama banyak untuk menang. Semua ada kelebihan," katanya tetapi enggan mengulas lanjutketika dihubungi Malaysiakini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan