HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Mac 2009

Permasis: Mahasiswa bimbang politik balas dendam

MALAYSIA KINI


Walaupun mengalu-alukan tindakan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mendedahkan dakwaan rasuah terhadap bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, tetapi Persatuan Mahasiswa Selangor (Permasis) khuatir ia penuh dengan emosi dan rasa ingin membalas dendam.

"Saya tidak halang Pakatan mendedahkan dakwaan skandal rasuah Khir Toyo dan saya ucapkan tahniah.

"Cuma saya bimbang, mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Pakatan untuk menerajui negeri Selangor digunakan sebagai medan untuk kepentingan peribadi, bukan kepentingan rakyat yang mengundi mereka," kata Pengarah Penyelidikan dan Kajian Strategik Permasis, Wan Afifi Wan Zainudin.

Permasis merupakan sebuah NGO gabungan mahasiswa anak Selangor bagi kampus-kampus di seluruh Malaysia.

Wan Afifi berkata, ada di kalangan anak muda, terutama mahasiswa di kampus, yang mulai merasai jelik dengan suasana politik yang sedang berlaku di Malaysia.

"Kita mesti mendidik generasi muda dengan budaya demokrasi yang adil dan saksama.

Budaya fitnah memfitnah

"Hindarkan daripada budaya fitnah-menfitnah, maki hamun yang penuh dengan rasa ingin membalas dendam.

"Pendedahan skandal-skandal mesti didasari dengan elemen ingin menegakkan kebenaran dan keadilan," katanya dalam satu kenyataan.

"Saya sangat memahami medan politik adalah medan peperangan dan persaingan antara parti-parti dalam menegakkan kebenaran dan keadilan masing-masing," katanya.

Bagaimanapun, katanya, biarlah ia berlaku dalam lunas yang bermaruah dan Pakatan hendaklah menjaga mutu perkhidmatannya.

Menurut Wan Afifi lagi, beliau agak hairan mengapa pendedahan skandal rasuah Khir Toyo didedahkan kepada media setelah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim teruk diserang.

Isu foto Eli

Sebelum ini laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Abdul Khalid berhubung penyelenggaran kereta peribadinya serta pembelian lembu korban di kawasan Parlimennya di Bandar Tun Razak yang didakwa menggunakan dana kerajaan negeri. Beliau telah menafikan dakwaan tersebut.

"Jika benar Tan Sri Khalid mempunyai bukti tuduhan rasuah Khir Toyo, mengapa sekarang maklumat ini didedahkan? Mengapa tidak dibuat sewaktu mula-mula memegang tampuk kepimpinan kerajaan Selangor?" soalnya.

Minggu lalu, kerajaan selangor mendedahkan dakwaan berlaku skandal rasuah yang membabitkan Khir Toyo berhubung pemilikan Toyota Harrier dan pembelian hartanah ‘Al Marwa Tower Makkah'.

Sementara itu, katanya, Permasis menyambut baik keputusan Sultan Selangor berhubung isu pengedaran gambar intim exco kerajaan negeri Elizabeth Wong.

"Keputusan baginda disifatkan sebagai adil dan dalam pada masa yang sama, memberikan peluang kepada kerajaan Pakatan menyelesaikan masalah tersebut tanpa campurtangan istana," katanya.

Tiada ulasan: