Saidah Hairan
SHAH ALAM - Kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa untuk mengadakan undang-undang berkaitan dengan adat Melayu, muzium, adat peninggalan zaman purba dan sejarah negeri.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dato' Dr Hasan Mohamed Ali maka wajarlah kerajaan negeri mengadakan satu enakmen Perbandanan Adat Melayu dan Warisan Selangor 2009.
"Ia perlu diadakan supaya ada satu badan khas yang menjana hal ehwal adat Melayu dan warisan sejarah negeri Selangor," katanya ketika mencadangkan Rang Undang-undang tersebut di sidang DUN.
Bagaimanapun, tambah beliau sehingga sekarang negeri Selangor masih belum mempunyai sebuah badan yang mengkoordinasi, menyelaras dan memantau pembangunan di peringkat negeri.
Hari ini katanya, pembangunan itu dijalankan oleh pelbagai pihak termasuk Muzium negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, NGO dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri di bawah agensi kerajaan Pusat.
Beliau berkata, ia dilakukan secara berasingan tanpa pengawasan, penyelarasan, hala tuju, pemantauan dan objektif secara berpusat untuk membina jati diri negeri Selangor.
Sehubungan itu katanya, perlu ditubuhkan sebuah perbadanan khusus mengenai adat Melayu dan warisan sejarah untuk pembangunan, koordinasi, penyelarasan, penilaian, pemantauan, penganjuran program bersama secara berpusat di peringkat negeri.
Menurut beliau, keanggotaan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri hendaklah terdiri daripada tidak lebih enam orang ahli lain yang mempunyai kepakaran, tiga ahli lain dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan sebagai setiausaha.
"Semua ahli Perbadanan mesti dilantik oleh PBT dengan perkenaan Sultan Selangor," katanya.
Selain itu tambah beliau Perbadanan perlu menubuhkan, mentadbir dan mengawal satu kumpulan wang yang dikenali sebagai Kumpulan Wang Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor yang mengandungi jumlah wang yang diperuntukkan dari semasa ke semasa oleh kerajaan.
Cadangan Hasan disokong oleh Pengerusi Kebajikan Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail dan dibahaskan oleh Adun Bangi (PAS), Dr Shafie Abu Bakar; Adun Ulu Kelang (PAS), Saari Sungib dan Kg Tunku (DAP), Lau Weng San.
Berucap membahaskan enakmen tersebut, Lau berkata, cadangan itu tidak pernah berlaku di Selangor kerana Umno yang konon memperjuangkan Ketuanan Melayu tidak pernah mengemukakan rang undang-undang enakmen adat Melayu dan Warisan Selangor selama ini.
Tetapi hari ini katanya, Pakatan Rakyat telah mengemukakan rang undang-undang enakmen ini untuk memelihara adat resam masyarakat Melayu Selangor, bahkan warisan budaya keturunan etnik yang lain. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan