HALAMAN SANTAI

Khamis, 19 Mac 2009

Sultan Selangor sampaikan hadiah kepada huffaz, huffazah

Muhammad Arif Ismail


SHAH ALAM - Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah berkenan menyampaikan hadiah kepada huffaz dan huffazah al-Quran ketika merasmikan Majlis Penutup Menghafaz al-Quran, Peringkat Negeri Selangor 1430H/2009M.

Majlis tersebut diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), 17 Mac lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ramli Mahmud yang juga merangkap pengerusi Jawatankusas Induk Majlis tersebut dalam sembah ucapanya berkata, majlis yang diadakan saban tahun ini bukannya bagi memenuhi masa lapang,

"Ianya diadakan dengan niat bagi menjadikan al-Quran sebagai hidangan utama rohani dan jasmani umat Islam masa kini.

"Menghafaz al-Quran itu sendiri pula adalah satu ibadat yang dituntut oleh agama dan mendengar bacaan ayat suci al-Quran juga akan mendapat kelebihan dan ganjaran di dunia dan akhirat.

"Oleh itu kepentingan membaca dan menghafaz adalah satu perkerjaan mulia yang dapat merangsang dan membentuk suasana pembinaan umat yang ideal dan proaktif," katanya.

Hadir sama dalam majlis itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Dr. Hassan Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian yang juga Adun Kota Anggerik, Yaakob Sapari.

Dalam pada itu, seramai 54 orang peserta telah menyertai majlis menghafaz al-Quran yang mewakili sembilan daerah di negeri ini iaitu, Gombak, Hulu Langat, Hulu Selangor, Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling, Sabak Bernam dan Sepang.

Keputusan ini diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Jemaah Hakim, Dato' Mohammed Khusrin Munawi.

Huffaz dari daerah Gombak iaitu Muhammad Farid Afifi Abdullah dan huffazah, Siti Nadhira Mohd Shafie masing-masing muncul juara bagi kategori bacaan al-Quran 1-30 juzuk.

Muhammad Farid meraih markah sebanyak 92.73 peratus manakala Siti Nadirah memperoleh 88.53 peratus.

Mereka menerima wang tunai RM5,000, pakej mengerjakan umrah, sepersalinan pakaian, piala serta sijil penghargaan.

Bagi kategori bacaan 1-15 juzuk dimenangi oleh huffaz Mohamed Syafiq Mohamed Bahaudin dari daerah Petaling dan Norhafizah Mohd Shafie dari daerah Hulu Langat.

Manakala kategori 1 hingga 5 Juzuk dimenangi Muhammad Naazir Sheikh Alaudeen dari daerah Gombak dan Farah Nabilah Amindin juga dari daerah yang sama.

Masing-masing menerima wang tunai, pakej umrah, sepersalinan pakaian, piala serta sijil penghargaan.

Johan bagi setiap kategori akan mewakili negeri Selangor pada Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan yang bakal diadakan di Kota Bharu, Kelantan pada pertengahan April ini. - mns_

Tiada ulasan: