HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 Jun 2009

Ahli PBPM dakwa tidak pernah terima bantuan

UTUSAN ONLINE


MARAN - Seorang bekas anggota Unit Kawalan Keselamatan (Home Guard) zaman darurat mendakwa diabaikan kerana tidak pernah menerima bantuan mana-mana pihak walaupun menjadi ahli seumur hidup Persatuan Bekas Perajurit Malaysia (PBPM).

Malah, Lee Wah Thim, 78, mendakwa, dia yang pernah berkhidmat sebagai Home Guard Persekutuan Tanah Melayu selama empat tahun bermula pada 29 November 1953 hingga 28 November 1957 di Bentong dan Jerantut, tidak pernah menerima insentif kerajaan sebanyak RM1,000 yang disalurkan kepada bekas perajurit.

Menurut Wah Thim, permohonannya untuk mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga tidak mendapat maklum balas atas alasan dia mempunyai empat anak dewasa.

''Memang saya ada anak yang bekerja sendiri tetapi mereka tinggal di Kuala Lumpur dan masing-masing ada keluarga yang perlu ditanggung,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Jerik di sini hari ini.

Kisah Wah Thim mengenai pengalamannya menentang keganasan komunis pernah disiarkan dalam Utusan Malaysia baru-baru ini.

Wah Thim yang uzur merayu JKM datang ke rumahnya untuk membuat penyiasatan berhubung kehidupannya yang dihimpit kemiskinan.

Dia yang tinggal di rumah papan usang bersama isterinya, Wong Lin Tai, 78, yang juga uzur memberitahu, pondok buruk itu merupakan pemberian seorang pemilik ladang yang bersimpati dengan kesulitan hidup mereka berdua.

Menceritakan pengalamannya sebagai Home Guard, katanya, dia pernah bertugas di banyak tempat termasuk di Batu 10, Sungai Dua, Bentong yang dianggap sebagai salah satu sarang komunis ketika itu.

''Walaupun bersama kerajaan menentang komunis, sehingga kini saya tidak ada tempat tinggal dan tanah sendiri untuk bercucuk tanam,'' katanya yang fasih berbahasa Inggeris dan Jepun.

Selepas berhenti menjadi Home Guard pada 1957, Wah Thim berkata, dia menjadi pengawal ladang getah di pekan Tong Kiat di sini.

Oleh kerana pergaulannya dengan kaum Melayu sangat terhad kerana menghabiskan usianya sebagai pengawal ladang selama lebih 40 tahun, dia kurang fasih berbahasa Melayu.

''Bagaimanapun semangat cintakan negara tidak pernah pudar kerana saya tahu betapa sukarnya Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman berjuang membebaskan negara daripada penjajah dan ancaman pengganas komunis,'' katanya.

Wah Thim memberitahu, kad keahlian PBPM bertarikh 6 April 1977 dan kad Home Guard Persekutuan Tanah Melayu sentiasa dalam simpanannya kerana bangga pernah menentang komunis pada 1950-an.

Tiada ulasan: