BERNAMA
KUALA LUMPUR: Hubungan Malaysia-China mempunyai erti amat istimewa bagi Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, beliau masih menuntut ketika ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak melakukan kunjungan bersejarah ke Beijing pada 1974 bagi menemui Zhou Enlai, Perdana Menteri Republik Rakyat China ketika itu.
"Hasil wawasan mereka, hubungan diplomatik antara kedua-dua negara terjalin secara rasmi.
"Apabila Malaysia memperkukuhkan hubungan dengan China, ia bukan semata-mata atas dasar hubungan luar, tetapi bagi mencerminkan kehidupan bernegara kita yang sebenar.
"Masyarakat Cina Malaysia umpama sehelai benang yang amat penting dalam fabrik nasional kita dan inilah yang menjadikan hubungan erat antara kedua-dua negara ini begitu penting dan tidak dapat dikesampingkan," katanya dalam buku Moving Ahead: Malaysia-China Relations.
Buku 250 halaman terbitan MPH Group itu mengandungi ucapan terpilih yang disampaikan Najib ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Buku ini dijual pada harga RM25 senaskhah.
Buku berkenaan juga menampilkan hasrat Najib untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada negara melalui konsep 1Malaysia yang beliau perkenalkan serta dasar beliau yang dinamik berhubung Asia Timur, dengan memberi fokus terhadap hubungan Malaysia-China.
Najib berkata, ketika menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Pelajaran, beliau banyak kali melawat China dan menjalin persahabatan dengan banyak orang, hasil daripada hubungan erat yang sedia terjalin antara kedua-dua negara.
"Bukanlah suatu kebetulan bahawa apabila menjadi Perdana Menteri, negara di luar Asean yang pertama yang lawati adalah China," kata Perdana Menteri.
Najib berkata, selepas Malaysia dan China menjalin ikatan kerjasama selama 35 tahun, hasil yang dapat dilihat dengan ketara ialah kedua-dua negara berjaya memelihara keharmonian dan kestabilan di rantau ini, di samping meningkatkan pembangunan ekonomi, yang memberi manfaat kepada masyarakat serta dunia, walaupun cabaran terus mendatang dan tugas yang ada, tidak pernah selesai.
“Pada era yang menuntut kita saling bergantung, hasil daripada globalisasi dan liberalisasi, dunia akan menuntut kita melakukan lebih banyak usaha pada tahun-tahun akan datang.
"Tidak cukup bagi kita untuk hanya mengagumi kekuatan satu sama lain tetapi kita perlu memanfaatkannya demi kebaikan bersama," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan