TV SELANGOR
Kerajaan negeri Selangor bercadang menetapkan satu garis panduan kepada pengusaha burung layang layang agar aktiviti penternakan unggas itu tidak mencemarkan alam sekitar dan kesihatan penduduk.
Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, pihaknya telah mengadakan beberapa mesyuarat bagi membincangkan perkara itu di peringkat daerah dan negeri.
Mesyuarat yang diadakan melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan dan pengusaha penternakan burung layang layang sendiri membincangkan langkah langkah yang perlu diambil dalam merangka kembali garis panduan yang boleh praktikal dan berkesan.
Menurutnya, satu lawatan ke Balik Papan, Indonesia yang aktif menjalankan aktiviti penternakan burung layang-layang ini akan diadakan dalam masa terdekat.
Ia bagi membolehkan kerajaan merangka satu garis panduan yang sesuai kepada pengusaha sarang burung terbabit yang kini mendapat sambutan menggalakkan di negeri ini.
Sejak akhir-akhir ini, banyak bangunan kediaman serta rumah kedai, membina rumah burung ini bagi mendapatkan sarangnya untuk tujuan perubatan.Ia dijual sehingga 6 ribu ringgit sekilogram.
Bagaimanapun, sistem penternakan yang tidak sempurna boleh menyebabkan pencemaran alam serta mengakibatkan penyebaran wabak penyakit seperti demam denggi.
Ronnie berkata, selain Balik Papan, beberapa lawatan juga akan dilakukan di dalam Negara seperti Manjung, Kota Bharu, Kuantan dan Kedah.
Hasil lawatan itu, satu perbandingan akan dibuat bagi mendapatkan kaedah yang paling sesuai untuk diaplikasikan di negeri ini.
Garis panduan ini penting bagi memastikan penternakan burung layang layang memberi keuntungan kepada penguasaha dan pada masa yang sama tidak menjejaskan persekitaran awam.
Ronnie berkata,"Kita harap selepas mengkaji dan meneliti semua keadaan itu,kita dapat menyeragamkan satu garis panduan yang praktikal".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan