HALAMAN SANTAI

Khamis, 11 Jun 2009

Muafakat cara terbaik atasi ketegangan di Ambalat - bekas Panglima

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Laksamana (B) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor yakin Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL) mampu mengelak sebarang perkara tidak diingini di perairan Ambalat menerusi permuafakatan.

Beliau yang pernah berdepan suasana tegang berikutan pencerobohan kapal perang Indonesia di perairan sama sewaktu menjadi Panglima TLDM empat tahun lalu berkata, masalah itu berjaya diselesaikan apabila kedua-dua pihak berbincang.

Menurutnya, cara tersebut merupakan langkah terbaik memandangkan hubungan Malaysia dan Indonesia sememangnya akrab sejak dulu lagi.

"Dulu pada tahun 2005 semasa jadi Panglima TLDM, saya sendiri berjumpa Laksamana TNI-AL di Pulau Batam untuk selesaikan dengan cara muafakat.

"Kami setuju untuk menghormati antara satu sama lain dengan tidak menceroboh kawasan perairan negara jiran," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kemelut di Ambalat kembali panas selepas media Indonesia melaporkan apa yang didakwa sebagai kapal ronda milik TLDM menceroboh perairan kawasan tersebut baru-baru ini.

Berikutan ketegangan yang timbul, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal berlepas ke Indonesia semalam bagi membincangkan kemelut di perairan berkenaan yang menjadi rebutan antara Malaysia dan Indonesia.

Mengenai persetujuan bersama antara TLDM dan TNI-AL yang ditandatangani pada 2002, Mohd. Anwar memberitahu, peraturan yang terkandung dalam perjanjian itu seharusnya dihormati.

"Berdasarkan peraturan dalam perjanjian itu, kapal perang kedua-dua negara dilarang melakukan perkara yang boleh membangkitkan perasaan prasangka antara satu sama lain," ujarnya.

Tiada ulasan: