HALAMAN SANTAI

Khamis, 18 Jun 2009

Pelawaan Shahrizat diputuskan selepas mesyuarat Isnin ini

Muda Mohd Noor


Dewan Muslimat PAS akan memutuskan sama ada menerima pelawaan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil untuk soal perpaduan ummah, selepas Dewan Harian parti itu mengadakan mesyuaratnya Isnin ini.

Bagaimanapun, Ketuanya, Nuridah Salleh berkata pihaknya akan menunggu jemputan rasmi dari Shahrizat berhubung perkara itu.

"Tunggu lepas mesyuarat itu, baru saya boleh komen lanjut mengenai cadangan tersebut," tambahnya.

Mengulas lanjut, Noridah berkata: "Kalau betul beliau (Shahrizat) hendak bincang, kena hantar surat kepada Dewan Muslimat PAS.

"Perkara ini tidak boleh bercakap begini sahaja, Kalau dah ada surat, senang nak bincang,' katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Difahamkan, mesyuarat Isnin ini dijangka membincangkan perkembangan politik semasa dalam parti, termasuk isu kerajaan perpaduan.

Ini ekoran desakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Nasharuddin Mat Isa melepaskan jawatannya sebagai timbalan presiden parti dan kerusi parlimen Bachok, kerana menyokong cadangan kerajaan perpaduan.

Mesyuarat tersebut akan dipengerusikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau dijangka pulang dari London Sabtu ini.

Difahamkan, mesyuarat itu juga dijangkan membincangkan perkara berkaitan dengan persediaan parti itu menghadapi pilihanraya kecil Manek Urai bulan depan.

Semalam, Shahrizat dilaporkan berkata akan menghantar jemputan kepada Dewan Muslimat PAS untuk mengadakan perbincangan dalam isu-isu yang menyentuh penyatuan kaum Melayu-Islam di negara ini.

Katanya, langkah itu dibuat sebagai menyokong keikhlasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berunding tanpa syarat dengan kepimpinan PAS berhubung kerajaan perpaduan.

"Saya selaku ketua pergerakan Wanita Umno, akan mengutuskan jemputan kepada ketua Dewan Muslimat PAS untuk kami kaum wanita duduk berbincang bagaimana boleh menentukan penyatuan kaum Melayu Islam yang sedia terjalin di negara ini,'' katanya dalam satu kenyataannya semalam.

Tiada ulasan: