malaysia kini
Para penyokong dua calon yang tewas dalam perebutan timbalan presiden PAS ingin sistem pemilihan diubah bagi menjadikan ia lebih telus dan mengurangkan prasangka buruk.
Seorang penyokong Mohamad Sabu yang tewas di tangan Nasharudin Mat Isa berkata, proses pemilihan parti harus dibuat perubahan.
"Sekarang pengiraan dijalankan tertutup kerana perwakilan memberi kepercayaan kepada jawatankuasa pemilihan.
"Jadi, ia membuka ruang kepada manipulasi," katanya, yang enggan dikenali.
Calon-calon yang bertanding tidak dibenarkan menghantar wakil-wakil mereka di sepanjang proses pembuangan undi dan pengiraan – yang berlarutan selepas tengah malam – dengan alasan prosedur tersebut "sudah menjadi tradisi" PAS.
Penyokong bekas naib presiden itu mencadangkan PAS mengambil contoh ketelusan yang diamalkan sewaktu pemilihan MCA baru-baru ini apabila wakil media dan pemerhati dibenarkan melihat proses tersebut dari tingkat atas.
Lebih baik, tambahnya, proses pengiraan undi dalam pemilihan PAS disiarkan melalui CCTV atau layar besar supaya perwakilan dapat melihat sendiri.
Dalam persaingan tiga penjuru, Nasharudin juga meninggalkan pencabar terdekatnya Datuk Husam Musa dengan kelebihan 200 undi.
Husam dan Mohamad masing-masing mendapat sebanyak 281 dan 261 undi, manakala Nasharudin 480 undi.
Walaupun menerima kekalahan tokoh PAS tersebut yang mesra dipanggil Abang Mat dalam muktamar PAS, penyokong itu juga turut mempertikaikan masa pengiraan yang terlalu lama sehingga dipercayai menimbulkan "rasa prasangka" di kalangan perwakilan.
Ditanya sama ada perlunya ada wakil calon sewaktu proses pengiraan undi, penyokong tersebut berkata, secara tradisinya, memang sebelum ini tidak pernah ada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan