HALAMAN SANTAI

Jumaat, 19 Jun 2009

Pemandu teksi jadi 'polis peronda'

Oleh ANGELINA SINYANG


SUBANG - Sedar atau tidak pemandu teksi sebenarnya mempunyai peranan yang setanding dengan polis peronda dalam mencegah jenayah di negara ini.

Ini kerana jumlahnya bukan sahaja mengatasi kereta peronda polis bahkan sentiasa berada di atas jalan raya tanpa mengira waktu untuk mencari penumpang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar justeru berharap pemandu teksi dapat lebih aktif menjadi 'mata dan telinga' dalam menyalurkan maklumat kepada pasukan polis.

"Pemandu teksi paling mudah mengesan jenayah kerana tugas mengkehendaki mereka berada di jalan raya dan kawasan penempatan penduduk selama 24 jam.

"Sekiranya dibandingkan dengan polis peronda, jumlah pemandu teksi berada di jalan raya, kampung dan bandar adalah lebih ramai,'' katanya.

Beliau berucap sempena Program Pencegahan Jenayah Bersama Pemandu-Pemandu Teksi di Lembah Klang di pusat beli-belah Sunway Pyramid, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Turut hadir Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah (YPJM) Selangor, Tan Sri Jeffery Cheah.

Program yang julung-julung kali diadakan membabitkan 221 pemandu teksi di Lembah Klang itu adalah anjuran YPJM Selangor dan polis Selangor, bertujuan memupuk dan menanam rasa tanggungjawab terhadap pencegahan jenayah oleh pemandu-pemandu teksi.

Menurut Ismail, polis sememangnya mengalu-alukan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti YPJM menganjurkan program kesedaran jenayah untuk masyarakat seperti hari ini.

"Polis tidak mampu membanteras jenayah bersendirian memandangkan perbuatan itu dilakukan oleh masyarakat dan menjadi tanggungjawab ahli masyarakat sendiri untuk membantu menghapuskannya," katanya.

Beliau berkata, maklumat jenayah boleh disalurkan dengan pelbagai cara dan antara paling mudah dilakukan ialah menghubungi talian hotline polis atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan mendaftar sebagai ahli Rakan Cop.

Tiada ulasan: