BERITA HARIAN ONLINE
PETALING JAYA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengemukakan rayuan kira-kira enam juta ahli koperasi supaya nama kementerian itu ditambah dengan nama koperasi pada mesyuarat Kabinet, hari ini.
Ia bermakna jika diluluskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan ditukar kepada nama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Ismail Sabri berkata, koperasi adalah pergerakan yang besar dan antara penyumbang kepada ekonomi negara, maka wajar nama koperasi diperjelaskan serta dimasukkan ke dalam kementerian berkenaan.
"Saya akan membawa usul, pandangan dan rayuan kira-kira enam juta ahli koperasi ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya nama koperasi dimasukkan dalam nama kementerian pada mesyuarat Kabinet esok (hari ini).
"Jika Perdana Menteri bersetuju, nama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mungkin bertukar kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan seminar Co operative Advantege In the Global Economic Crisis dan Konvensyen Hala Tuju Koperasi di sini, semalam.
Turut hadir, Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Rahim Abu Bakar dan Pengarah Maktab Kerjasama Malaysia, Idris Ismail.
Sebelum ini, koperasi berada di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, tetapi selepas kementerian itu dibubarkan, baru-baru ini, ia diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Ismail Sabri berkata, jika usul nama koperasi dalam kementerian ditolak, tidak bermakna kerajaan akan meminggir atau membelakangkan gerakan berkenaan, sebaliknya ia akan terus dibangunkan untuk kepentingan ahlinya.
Selain isu nama koperasi, katanya, beliau akan meminta Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) terus diberi tanggungjawab membuat potongan gaji kakitangan kerajaan yang membayar balik pinjaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan