BERITA HARIAN ONLINE
KUALA TERENGGANU: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan polis akan memburu sehingga ke lubang cacing individu yang terbabit membakar dua surau di Muar, Johor awal pagi kelmarin.
“Saya sudah arahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes itu dan mengheret mereka yang terbabit ke muka pengadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program Juara Rakyat peringkat negeri Terengganu dengan tema Pendidikan di Sekolah Menengah (SM) Teknik, di sini, semalam. Kira-kira 5,000 hadirin menyertai majlis itu. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Semalam, akhbar melaporkan dua surau di bandar Muar dipercayai cuba dibakar dengan menggunakan minyak tanah dalam dua kejadian berasingan yang berlaku dalam jarak kira-kira dua kilometer, awal pagi kelmarin.
Bagaimanapun, kedua-dua surau berkenaan iaitu Surau Silaturrahim, Jalan Ismail dan Surau Kampung Parit Beting, Jalan Salleh, hanya mengalami kerosakan kecil membabitkan kesan terbakar di langsir, permaidani dan cermin tingkap pecah, selain terdapat kesan terbakar di pintu surau.
Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata siasatan awal tidak menolak kemungkinan kedua-dua kebakaran surau itu dilakukan pihak yang sama berikutan taktik serupa dan berlaku di kawasan yang jaraknya hanya lingkungan dua kilometer antara surau.
Hishammuddin mengesahkan kebakaran itu membabitkan kerugian kecil iaitu tidak lebih RM500, namun melihat perbuatan itu sebagai satu yang serius.
“Mengapa (berlaku) pada malam Jumaat? Mengapa sehari sebelum kita (umat Islam) sembahyang Jumaat? Ini perlu kita kaji dan teliti. Apa yang berlaku ini, yang bukan Islam pun kecewa,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan