HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 Januari 2010

JAIP, JAIS Tahan 81 Pasangan Disyaki Berkhalwat

BERNAMA


KUANTAN: Pelajar berusia 16 tahun adalah antara 29 pasangan ditahan oleh pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) kerana disyaki berkhalwat di hotel dan rumah tumpangan di sini sempena sambutan Tahun Baru hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama JAIP, Ahmad Raffli Ab Malek berkata, mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 55 tahun termasuk pelajar sekolah dan kolej di sini.

Dalam operasi Insaf 2010 itu katanya, kesemua pasangan ditahan di 20 buah hotel bajet dan rumah tumpangan di Jalan Wong Ah Jang, Jalan Besar, Jalan Bukit Ubi, Jalan Teluk Sisek dan Jalan Stadium.

Menurutnya, seramai 30 pegawai dan anggota JAIP bersama 60 ahli Briged Cegah Mungkar yang terdiri daripada sukarelawan menyertai operasi itu mulai jam 6 pagi hingga 9 pagi tadi.

"Ada juga yang cuba terjun dari bangunan bilik hotel untuk meloloskan diri selain tidak memberikan kerjasama dan ada juga yang terlibat dalam kes berulang tetapi dicekup dengan pasangan lain pada hari ini," katanya kepada pemberita di sini.

"Siasatan awal mendapati, ada di antara mereka yang datang dari negeri lain seperti Negeri Sembilan dan Terengganu untuk bertemu dengan pasangan mereka," katanya.

Selain itu, Ahmad Raffli berkata, dua orang ditahan kerana kesalahan minum minuman keras dan tiga orang atas kesalahan mendedahkan tubuh di khalayak ramai.

Sementara itu di Klang, Selangor, dua pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) merupakan antara 52 pasangan yang ditahan kerana dipercayai berkhalwat dan minum minuman keras dalam operasi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) awal pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam JAIS, Mohd Hidayat Abdul Rani berkata, kesemua pasangan itu ditahan di beberapa lokasi di sekitar daerah Klang, Shah Alam dan Kajang, merangkumi kawasan tasik, taman rekreasi, hotel dan pusat hiburan.

"Kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 45 tahun dan mereka ditahan dalam operasi yang bermula 12 tengah malam dan berakhir kira-kira pukul 5 pagi tadi," katanya.

Selain itu, beliau berkata, hampir 100 individu yang berkelakuan tidak sopan turut dibawa ke Pejabat JAIS di Shah Alam untuk diberi kaunseling.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan akan didakwa Isnin ini di Mahkamah Syariah Shah Alam, Klang dan Kajang mengikut Seksyen 29 (1a) dan (1b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tiada ulasan: