HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Januari 2010

SPR pamer Rang Daftar Pemilih Tambahan

BERNAMA


PUTRAJAYA - Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi suku tahun keempat 2009 mula dipamerkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mulai semalam hingga Selasa minggu depan di 999 tempat pameran seluruh negara.

Ia dipamerkan di Pejabat Pilihan Raya Negeri; pejabat Pos Berkomputer; kompleks atau pejabat kerajaan; pejabat daerah atau pejabat tanah; Majlis Daerah atau perbandaran; Dewan Serba guna, Rukun Tetangga, Balai Raya dan lain-lain tempat.

SPR dalam satu kenyataan, meminta semua warganegara Malaysia yang baru memohon menjadi pemilih atau pemilih berdaftar yang memohon pertukaran alamat pusat mengundi supaya untuk membuat semakan.

Menurutnya, warganegara yang baru berdaftar, tetapi nama mereka tiada dalam senarai itu, boleh buat tuntutan guna Borang B.

“Mereka yang ingin membuat sebarang bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam rang daftar pemilih itu juga boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C. Kedua-dua borang B dan C itu perlu diserahkan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri masing-masing dalam tempoh tujuh hari dari tarikh pameran,” menurut kenyataan itu.

Dalam tempoh antara Oktober dan Disember 2009 SPR menerima 82,668 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan 16,793 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi.

Selain itu, SPR juga akan mempamerkan nama-nama pemilih yang dikeluarkan daripada daftar pemilih seperti mereka yang didapati meninggal dunia dan lucut hak warganegara.

SPR berkata, dalam usaha membersihkan daftar pemilih, kerjasama semua waris diharapkan untuk menghantar salinan sijil kematian atau permit waris yang meninggal dunia.

“Salinan itu boleh dihantar secara pos atau faks atau pun datang sendiri ke mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri atau pun ke ibu pejabat SPR di Putrajaya,” menurut kenyataan itu.

SPR turut menasihatkan pemilih yang sudah berdaftar untuk menyemak Daftar Pemilih Induk 2008.

Mereka yang mempunyai sebarang masalah atau pertanyaan lanjut boleh hadir sendiri ke ibu pejabat SPR atau hubungi 03-88856500, Pejabat Pilihan Raya, atau melayari laman web SPR www.spr.gov.my.

Tiada ulasan: