HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 September 2010

Siasat kes terdahulu, sebelum Sosilawati


shamsur Oleh Qayum Rahman

PUTRAJAYA: Ketua AMK PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan suruhanjaya siasatan khas untuk menyiasat berkemungkinan salah laku polis dalam kes kematian terdahulu sebelum pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya.

"SPRM perlu membantu menyiasat kes-kes terdahulu yang dilaporkan oleh keluarga-keluarga mangsa yang gagal diselesaikan oleh pihak polis tetapi akhirnya kes-kes itu ditutup," katanya.

Shamsul berkata demikian kepada para pemberita selepas menyerahkan maklumat awal di ibu pejabat SPRM di sini semalam bersabit pembunuhan kejam pengasas produk kecantikan dan jutawan Sosilawati dan tiga yang lain baru-baru ini.

Tegas beliau, tujuan saya menyerahkan laporan awal agar SPRM menyiasat sama ada wujud unsur rasuah dan penyelewengan polis dalam kejadian pembunuhan ini.

Shamsul membidas pihak polis dengan berkata, "kalau berlaku kematian melibatkan orang bukan kenamaan, tiada siasatan dilakukan dan kes itu mudah ditutup tetapi apabila melibatkan orang kenamaan atau berpangkat seperti datuk maka siasatan terperinci dilakukan.

Menurut beliau, kes pembunuhan Sosilawati bukan merupakan kes pertama yang berlaku dan ia merupakan kecuaian pihak polis yang mengambil masa lama untuk menjejaki pembunuh atau para pembunuh tersebut.

Ujar beliau, "kita mahu SPRM dan polis menyiasat secara telus kes ini agar orang ramai yakin dengan kemampuan pihak berkuasa benar-benar melaksanakan tugas mereka.

Sementara itu, Timbalan Ketua AMK Faris Musa yang turut hadir berkata, pihak polis sepatutnya bersikap profesional tanpa mempolitikkan isu berhubung kenyataan Shamsul terhadap pembunuhan Sosilawati.

"Kalau polis mengambil sikap positif berhubung kenyataan Shamsul maka polis boleh buktikan bahawa mereka langsung tidak terlibat atas dakwaan itu," terang beliau.

Beliau berharap dengan laporan awal daripada Shamsul itu dapat membantu SPRM menjalankan menyegerakan siasatannya.

Tiada ulasan: