HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 September 2010

Kuasa Melayu: Nurul ajak Mahathir debat, Pemuda PAS dakwa ‘tidak cerdik’

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Pemimpin muda PKR dan PAS – komponen Pakatan Rakyat (PR) – mengecam bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan mendakwa sekali lagi memainkan api perkauman ekoran kenyataan bahawa Melayu akan hilang kuasa kalau ikatan itu memerintah.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar (gambar) berkata beliau berpandangan kenyataan Dr Mahathir semalam itu sebagai tidak bertanggungjawab dan merupakan sebahagian usaha terdesak untuk menjejaskan kestabilan negara.

“Selain penggunaan isu perkauman untuk Umno juga memakai satu-satunya pendekatan yang mereka mahir iaitu ‘politik Ketakutan’.

“Politik ketakutan menggunakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai alat untuk penipuan yang penuh terdesak,” kata beliau yang menawarkan diri bertanding kerusi naib presiden pada pemilihan kali ini.

Menurut Nurul, masyarakat Melayu diindoktrinasi melalui pelbagai cara termasuk penggunaan pertubuhan bukan kerajaan untuk berlakon sebagai mangsa dengan tujuan untuk mengeliru dan membantutkan seluruh anggota masyarakat supaya kekal terpasung fikirannya dan emosinya baik oleh kerajaan penjajah dan kini melalui penggantinya, Umno.

“Matlamat ini tidak lain dan tidak bukan untuk mengekalkan dominasi politik oleh sekelompok kecil elit Melayu yang rapat dengan pusat kuasa, melalui rasuah, salah guna kuasa dan secara berterusan mengabaikan perlembagaan.

“Malang sekali kerana tindakan mereka ini dibantu oleh MCA, MIC, Gerakan dan parti komponen BN lain yang terus membisu dan membuang tanggungjawab yang sepatutnya digalas,” katanya.

Beliau berkata, rakyat perlu melawan usaha-usaha ini dengan menekankan ‘politik berlandaskan harapan dan kebebasan’ yang akan mengubah minda Melayu daripada kebimbangan palsu tentang kehilangan identiti dan pembangunan ekonomi kepada daya positif yang akhirnya mencipta masyarakat yang penuh keyakinan dan tidak lagi terkongkong.

“Oleh itu, dengan matlamat untuk bertukar pendapat, demi mewujudkan ‘Malaysia Yang Lebih Baik Untuk Semua Rakyat’, saya dengan rendah hati membuat tawaran untuk berdebat dengan Dr Mahathir supaya ‘kebimbangan’ Melayu – yang pastinya tidak melibatkan keseluruhan masyarakat – yang disebut itu dapat dijelaskan, sama ada kerana ‘takut Melayu hilang kuasa atau hilang harta’?” kata beliau.

Dalam pada itu, Setiausaha Dewan Pemuda PAS pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil juga menyelar kenyataan Dr Mahathir yang terus-menerus meniupkan api perkauman.

“Persoalannya sekarang, benarkah apa yang diperkatakan oleh Tun Mahathir itu? Benarkah Melayu akan hilang kuasa dan ‘suara’ sekiranya pakatan pembangkang (disebut Pakatan Rakyat @ PR)?

“Jika diteliti kembali akan kenyataan beliau seolah-olah kenyataan tersebut dikeluarkan oleh mereka yang ‘tidak cerdik’ dan bukannya datang daripada seorang yang dianggap tokoh negarawan,” kata beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO Pemuda PAS.

Beliau menambah, fakta-fakta yang diberikan menunjukkan Dr Mahathir sememangnya mengesahkan teori beliau sendiri iaitu “Melayu Mudah Lupa.”

“Mengambil contoh Kelantan yang diperintah oleh PAS selama 20 tahun dan 18 tahun sebelumnya, berapa inci tanah orang Melayu yang PAS telah khianati?

“Sedangkan kalau dilihat ekonomi Melayu di Kelantan lebih hebat jika dibandingkan dengan negeri yang diperintah oleh Umno-BN,” katanya.

Kata beliau, terbarunya sebanyak 118 projek di Kelantan telah dibekukan sejak Rancangan Malaysia Keenam diperkenalkan pada 1991.

Jumlah itu kata beliau, meliputi 1,086.278 hektar atau melebihi 1,000 hektar (2,500 ekar) tanah dari 10 jajahan di negeri ini.

“Bukankah Kelantan yang majoritinya terdiri daripada masyarakat orang Melayu? Mengapa dihalang pembangunan negeri yang majoritinya orang Melayu jika Umno benar-benar memperjuangkan Melayu?” katanya.Begitu juga ketika PAS dan Barisan Alternatif memerintah Terengganu setelah berjaya mengambil alih teraju pemerintahan negeri daripada Umno-BN pada 1999 yang mana ketika itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS menjadi menteri besar telah memberi tanah kepada orang Melayu, namun dirampas kembali setelah Umno berjaya menawan semula Terengganu pada tahun 2004, kata beliau.

“Apakah ini tidak khianat namanya?” katanya.

“Fakta jelas menunjukkan bahawa PR ketika memerintah Perak selama 10 bulan, hanya 1,200 hektar (3,000 ekar) tanah sahaja yang diberikan kepada orang Cina sedangkan orang melayu juga mendapat 2,800 hektar (7,000 ekar).

“Itu pun setelah mereka menduduki tanah tersebut selama 70 tahun. Jika Umno menuduh PAS boneka DAP, mengapa tanah yang dipohon oleh Tuan Guru Abd. Latif (Pondok Pak Teh Kroh, Grik Perak) yang dipohon sejak 1996 telah diluluskan oleh EXCO PR pada tahun 2008 (setelah 12 tahun) sebanyak kira-kira 10 hektar (45 ekar).

“Jika Datuk Seri Nizar adalah merupakan boneka DAP, pastinya permohonan beliau ditolak.

“Kenapa tidak pemberian tanah seluas 2,800 hektar (7,000 ekar) yang diberi kepada orang Melayu tidak disebut?” katanya.

Beliau juga bertanya siapa yang memerintah Perak sebelum ini kalau bukan Umno-BN yang sanggup menahan permohonan orang Melayu walaupun untuk pembinaan sekolah agama.

Tiada ulasan: