HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 September 2010

I'DA World bukan bawah penelitian SSM

Salhan K Ahmad

Isu melibatkan keupayaan syarikat I'Da World Group Sdn Bhd untuk menyumbangkan RM4 bilion tidak berada bawah penelitian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kata pengarah penguatkuasaannya, Muhd Redzuan Abdullah.

Katanya, sekiranya terdapat kecurigaan atau unsur penipuan dilakukan syarikat berkenaan, ianya mungkin menarik perhatian di bawah Kanun Keseksaan.

"Itu bawah kuasa polis. Kalau ada orang buat aduan ada unsur penipuan atau (syarikat) janji hendak bagi (sumbangan) tapi tidak bagi, mungkin polis boleh siasat dan dakwa," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, SSM juga tidak berkuasa untuk mengesahkan kaitan I'da World Group dengan pelbagai syarikat lain di luar negara seperti yang didakwa.

"Kalau ada unsur penipuan atau kecurigaan tertentu, itu antara dia (individu terbabit) dengan syarikat itu. Kalau ada, itu merupakan kes sivil," katanya lagi.

Katanya, SSM hanya boleh melihat sama ada pengarah syarikat itu menjalankan tugas-tugas fidusiari yang ditetapkan ke atasnya.

Tambahnya, SSM setakat ini telah diberikan kompaun pada April lalu kerana syarikat tersebut tidak mengemukakan laporan kewangan mereka kepada suruhanjaya berkenaan.

Malah, syarikat itu juga tidak menjalankan mesyuarat agung sejak dua tahun lalu, seperti dilaporkan sebelum ini.

"Kita beri tempoh kepada mereka selama enam bulan. Maknanya kalau mereka tidak jelaskan kompaun ini dan failkan laporan kewangan sehingga Oktober, kita akan dakwa bawah Akta Syarikat," katanya.

Tambahnya, SSM juga akan meneruskan pemantauan ke atas operasi syarikat tersebut.

"Mereka boleh jalankan operasi seperti biasa. Tidak ada masalah, tapi kita akan terus pantau supaya mereka patuh," katanya lagi.

Tiada ulasan: