HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 April 2013

Calon BN perempuan cekak kolar calon lelaki KEADILAN

Oleh Aisha Geoffrey

GOPENG : Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat, Datuk Hamidah Othman berlagak samseng apabila mencekak kolar baju calon KEADILAN Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye serta merampas kamera petugas KEADILAN.

Menurut Boon Chye, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6 petang semalam di Bilik Gerakan KEADILAN Gopeng, Taman Tasik Permai, Batu Gajah.

dr lee gopeng

“Kejadian berlaku sewaktu petugas kita mahu menaikkan bilik gerakan. Tapak tersebut adalah tempat sama sewaktu Pilihan Raya Umum 2008 dan kita tak ganggu kawasan BN,” katanya kepada Keadilan Daily.

Jelas Boon Chye, ketika petugas KEADILAN sedang membina bilik gerakan tersebut, beberapa petugas BN membuat kacau dan menghalang proses berkenaan.

“Selepas mendapat maklumat itu, saya terus hubungi polis, dan apabila sampai ke lokasi tersebut, beberapa pegawai polis sudah berada di situ untuk mengawal keadaan. Saya cuba berunding dengan ketua petugas, tetapi dia syorkan supaya berunding dengan Datuk Hamidah,” katanya.

Hamidah kemudiannya tiba bersama kira-kira 60 penyokong sambil memberi amaran agar tiada rakaman gambar atau video dibuat mana-mana petugas KEADILAN.

“Ketika dia menuju ke arah saya, beliau (Hamidah) dapati ada seorang petugas merakam kejadian itu. Dia terus merampas kamera tersebut dan membalingnya ke arah semak,” kata Boon Chye.

“Selepas itu, dia terus menghampiri saya dan mencekak kolar baju saya. Dalam masa yang sama, saya dapat rasa ada orang tolak saya dari belakang. Dalam keadaan kelam-kabut itu, mujur saya diselamatkan pengawal keselamatan dan terus dibawa pergi dari situ,” cerita Boon Chye lagi.

Beliau membuat laporan polis sejurus selepas itu di Balai Polis Simpang Pulai.

Tegasnya, tindakan Hamidah itu jelas menunjukkan ciri-ciri bakal calon BN yang biadap serta samseng.

“Saya desak Hamidah memohon maaf di atas kebiadabannya. SPR (Suruhajaya Pilihan Raya) serta pasukan polis perlu pastikan bukan sahaja petugas, malah calon juga dijamin keselamatan,” tegas Boon Chye.

Tiada ulasan: