Oleh Aedi Asri
KUALA LUMPUR : Penyertaan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ke dalam PAS bakal melonjakkan lagi sokongan kepada Pakatan Rakyat, terutama di Selangor.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Muhammad memiliki pengaruh yang cukup besar di Selangor, apatah lagi pernah memimpin kerajaan negeri itu.
“Kami mengalu-alukan penyertaan Tan Sri. Kita kira ini (memberi) sokongan dan dokongan yang kuat.
“Beliau seorang yang berpengaruh di Selangor, pernah memimpin kerajaan negeri dan Umno Pusat.
“Sudah tentu penyertaan ini beri kekuatan baru yang sangat penting kepada PAS (dan Pakatan), terutama ketika menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur pagi tadi.
Sebelum ini, media melaporkan penyertaan Muhammad ke dalam PAS, namun tiada sebarang pengesahan rasmi mengenainya.
Muhammad yang hadir sidang media itu berkata, beliau berhasrat menyertai PAS sejak tahun lepas, namun menangguhkannya bagi mengelak tohmahan.
“Hasrat untuk masuk PAS sejak tahun lepas, (sudah) berjumpa dengan Haji Hadi dan Timbalan Presiden, Muhammad Sabu.
“Pengumuman dua hari selepas penamaan calon, untuk elak tohmah saya masuk sebab nak jadi calon pilihan raya,” katanya.
Menurut Muhammad, penyertaan beliau bertujuan memberi sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat bagi membuat perubahan kepada negara.
“Memang benar, negara dan Selangor maju. Tapi kita perlukan pembangunan yang ada roh, bukan kemajuan semata-mata. (Jadi) saya fikir perubahan perlu dilakukan.
“Di dalam pertemuan (ketika kempen) di kampung-kampung nanti, saya akan berucap lagi,” kata beliau.
Turut hadir sidang media, antaranya Muhammad Sabu; Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Harun Din.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan