HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 April 2013

Pakatan lantik Md Hashim Pengerusi Majlis Penasihat Keselamatan Rakyat

Oleh:Aedi Asri

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Keselamatan Rakyat (MPKR) dan pelantikan bekas Ketua Turus Angkatan Tentera Darat, Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein sebagai pengerusinya.

Md Hashim

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu diputuskan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dua minggu lalu.

Katanya lagi, majlis melibatkan bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ismail Hamzah dan beberapa bekas pegawai kanan polis itu bertujuan memberi pandangan kepada pimpinan Pakatan berhubung isu keselamatan negara.

“Kemudian kita serahkan kepada pengerusi dan ahli MPKR untuk rangka kaedah dan bidang tugas yang menyentuh soal keselamatan dan pertahanan negara.

“(Soal ini) sangat kritikal bagi Pakatan, terutama, insyaAllah, apabila peralihan kuasa berlaku,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat KEADILAN tadi.

Turut bersama adalah Tan Sri Md Hashim Hussein; Datuk Ismail Hamzah, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, Tony Pua (Petaling Jaya Utara) dan Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena).

Md Hashim berkata, antara ruang lingkup peranan MPKR adalah khidmat nasihat berkaitan pertahanan, termasuk penilaian ancaman serta proses penyediaan polisi dan strategi keselamatan.

“Ia juga bagi membolehkan penetapan tugas untuk wujudkan garis jelas di antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu ancaman ke atas keselamatan negara.

Anwar Md Hashim

“(Selain itu), kita juga akan melihat (keperluan) satu pelaksanaan operasi bersama antara tentera darat, laut dan udara di bawah satu markas, iaitu markas angkatan bersama,” kata bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan itu lagi.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata, majlis itu ditubuhkan selepas melihat kelemahan kerajaan ketika berhadapan dengan insiden di Lahad Datu.

“(Selain itu) kita juga melihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyimpang daripada fungsi sebenar, untuk jaga keselamatan negara.

“Tetapi apa yang berlaku di Lahad Datu adalah contoh kelemahan MKN. Fungsi mereka berubah kepada untuk jaga keselamatan politik Barisan Nasional,” katanya lagi.

Tiada ulasan: