HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 April 2013

Noh Omar: PKR bimbang BN rampas Selangor

NURUL FATIHA MUAH

Noh Omar
Datuk Seri Noh Omar
 
TANJONG KARANG – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail didakwa terpaksa bertanding di Selangor untuk membantu parti yang dikatakan berpecah bagi memastikan negeri itu masih kekal milik mereka.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa, perpecahan PKR itu jelas apabila Pengerusi PKR Negeri, Mohamed Azmin Ali menolak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor jika pakatan pembangkang menang di negeri itu kelak.

“Dulu, Azmin kata, Tan Sri Khalid hendak bertanding parlimen saja (dan ini) menunjukkan Azmin tak nak Abdul Khalid jadi MB Selangor. Hari ini Wan Azizah datang dan Khalid kata dia boleh jadi MB.

“Nampaknya Tan Sri Khalid ini memang ditolak PKR kalau begitu caranya sebab Azmin ini ialah Timbalan Presiden PKR. Sekarang ini mungkin Tan Sri Khalid tersepit dengan kem Azmin yang tolak beliau jadi MB.

Jadi mungkin juga Abdul Khalid pun tak nak Azmin jadi MB (sebab itu) dia kata Wan Azizah (Presiden PKR) layak jadi MB,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung sama ada kenyataan Abdul Khalid bahawa Dr Wan Azizah layak menjadi Menteri Besar Selangor itu dilihat untuk menyekat kemaraan Azmin mengambil jawatan nombor satu negeri itu kelak.

Noh yang  juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, perbalahan didakwa melibatkan kem Azmin dan Abdul Khalid itu menunjukkan pakatan pembangkang masih gagal meletakkan calon Menteri Besar Selangor.

Beliau berkata, ‘perpindahan’ Dr Wan Azizah ke Selangor itu akan menjadikan negeri ini diwakili seorang ‘parasit’ politik yang didakwa tidak laku di kawasannya.

“Rakyat Selangor kena buka mata. Kita orang Selangor, tidak mungkin kita nak jadikan Selangor ini sebagai tempat satu keluarga (Anwar) berada (bertanding) di Selangor.

“Sudah tidak ada ke orang Selangor yang layak jadi wakil rakyat? Kita bangunkan Selangor selama ini pun hasil kudrat anak-anak Selangor, tapi nampaknya bila Selangor sudah maju sekarang, ada orang hendak jadi parasit,” katanya.

Tiada ulasan: