HALAMAN SANTAI

Khamis, 19 September 2013

Adam Adli boleh kembali belajar selepas kesnya selesai - UPSI

OLEH YISWAREE PALANSAMY


























Aktivis pelajar, Adam Adli Abdul Halim (gambar) boleh menyertai semula Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selepas beliau menyelesaikan semua kes mahkamah ke atasnya, kata Timbalan Naib Canselor UPSI, Profesor Madya Datuk Dr Junaidy Abu Bakar.

Dr Junaidy berkata, buat masa ini biarlah Adam Adli  menyelesaikan segala masalahnya sebelum memasuki semula universiti itu.

Adam Adli digantung selama tiga semester atas tuduhan mencemarkan reputasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tanpa dibela peguam semasa dibicarakan.

 Penuntut sarjana muda pendidikan berusia 22 tahun itu ditahan dan dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib universiti berkenaan 9 Januari lalu atas dakwaan terbabit dengan perhimpunan menuntut kebebasan akademik pada 17 Disember tahun lalu.

6 September 2013 lalu, dia menerima surat daripada naib canselor universiti itu memaklumkan dia digantung pelajaran selama-lamanya sehinggalah kes mahkamahnya selesai.

"Kami mempunyai hak untuk melaksanakan peraturan sebegitu. Dalam kes Adam, aktiviti luar kampusnya menggangu pelajarannya dan universiti," kata Dr Junaidy kepada The Malaysian Insider hari ini.

Beliau berkata, Adam Adli sentiasa dihubungi oleh polis dan mahkamah berhubung aktivitinya di luar kampus.

"Kita mengambil tindakan ini untuk kebaikan Adam. Kami sedang membantu dia bukan berpakat untuk menendang beliau keluar universiti," katanya.

Beliau menolak dakwaan yang mengatakan tindakan ini didalangi orang politik.

Menurutnya, tindakan ini bukan dibuat oleh beliau seorang tetapi dibincangkan dalam Lembaga Universiti sebelum kata putus dicapai.

"Kami adalah ahli akademik dan kami tahu apa peranan kami dengan baik.

"Sebab itulah ia pergantungan selama-lamanya. Bila kesnya selesai, dia boleh balik," katanya.

Mei lalu, Adam didakwa di bawah Akta Hasutan kerana mempertikaikan keputusan pilihan raya umum ke 13 semasa Forum 13 Mei.

Beliau didakwa mengajak rakyat ke jalan raya untuk menjatuhkan kerajaan BN.

Adam mendakwa, tindakan universitinya ini bermotif politik dan universiti mengenepikan segala prosedur ketika menjatuhkan hukuman ke atasnya.

Tiada ulasan: