HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 September 2013

Kerajaan tidak mungkiri perjanjian, Chin Peng yang berhutang maaf, kata Utusan

OLEH MD IZWAN

Upacara kematian Chin Peng berlangsung di kuil Wat That Thong di Bangkok. 


Upacara kematian Chin Peng berlangsung di kuil Wat That Thong di Bangkok.Akhbar milik Umno Utusan Malaysia hari ini mengatakan kerajaan tidak pernah memungkiri Perjanjian Hatyai 1989 dengan Parti Komunis Malaya (PKM) tetapi sebaliknya menegaskan pemimpin parti komunis itu, mendiang Chin Peng berhutang maaf kepada rakyat Malaysia.

Kolumnis Awang Selamat dalam edisi Ahad Mingguan Malaysia hari ini menegaskan Chin Peng adalah pengkhianat dan pengganas yang telah menderhaka kepada negara dan telah membunuh banyak anggota keselamatan negara.

"Pada Awang, yang sepatutnya berhutang maaf adalah Chin Peng sendiri. Bukan itu sahaja, mendiang berhutang nyawa, berhutang darah, berhutang air mata dan berhutang maruah kepada negara," kata Awang Selamat yang dipetik dari Mingguan Malaysia hari ini.

Awang Selamat juga membidas pemimpin MCA, pengerusi Biro Publisiti MCA Datuk Heng Seai Kie, kerana sikap tidak bertanggungjawab mengalihkan isu Chin Peng menjadi sebuah isu perkauman dengan mengaitkannya kepada isu jenazah dua pengganas Dr Azahari Husin dan Nordin Mohamad Top yang dibenarkan dikebumikan di Malaysia.

"Janganlah melihat ia daripada pandangan rasis semata-mata.

"Hujah tersebut ternyata dangkal sejarah dan sedarlah mudarat yang dibawa oleh Chin Peng adalah terlalu besar," kata Awang Selamat lagi.

Dalam pada itu, Awang Selamat memberi amaran sekiranya abu Chin Peng dibenarkan dibawa pulang ke Malaysia ia bakal menjadi kemenangan kepada pihak-pihak yang mahu mengubah sejarah negara.

"Jika abu mayat Chin Peng dibawa pulang, ia akan menjadi kemenangan moral terbesar buat golongan yang mahu menulis semula sejarah.

"Ia merupakan penghinaan kepada pasukan keselamatan, yang ribuan anggota dibunuh oleh pengganas PKM," tambahnya lagi.

Awang Selamat juga mengecam pihak yang menggunakan alasan isu kemanusiaan, mempersoalkan bagaimana pula dengan perasaan balu pasukan keselamatan.

"Apabila menyentuh nasib anggota tentera dan polis yang terkorban meninggalkan balu dan anak yatim, tidak terdorong pula dengan soal kemanusiaan?" soal Awang Selamat.

Kontroversi Chin Peng tercetus kembali selepas bekas setiausaha agung PKM itu meninggal dunia di Bangkok, Thailand pada pagi 16 September pada usia 89 tahun.

Pelbagai pihak memohon abu mayatnya dibawa pulang ke Malaysia, namun kerajaan terus menolaknya.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor, dilaporkan berkata Malaysia akan menjadi bahan ketawa jika kerajaan tidak berganjak daripada keputusan "naif" dengan enggan membenarkan abu mayat  Chin Peng dibawa masuk ke dalam negara untuk ditanam.

Abdul Rahim, yang juga pengarah Cawangan Khas semasa Perjanjian Hatyai 1989, mengetuai rundingan damai yang mengakhiri secara rasmi pertempuran PKM dengan kerajaan.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua lahir di Sitiawan, Perak pada 1924.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata, kerajaan tidak akan menarik diri daripada pendirian untuk menghalang abu mayat Ching Peng dibawa balik dan mencabar mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu untuk mengambil langkah undang-undang.

Tiada ulasan: