THE MALAYSIAN INSIDER
Usaha seorang penulis untuk menyampaikan pandangannya tentang pilihan raya umum ke 13 (PRU13) lalu melalui buku kepada para pelajar Malaysia di Mesir berdepan dengan kekalutan apabila beliau dituduh "sesat".
Akibatnya, 500 buah buku yang ditulis dan diterbitkan oleh Hasbie Muda (gambar) di sana terpaksa dibawa pulang ke Malaysia.
Hasbie mengesahkan perkara ini apabila ditanya oleh peserta di Dialog Anak Muda di Bandar Baru Salak Tinggi Jumaat lalu.
Hasbie, seorang penulis dan facebooker, menulis dan menerbitkan buku bertajuk "Kemenangan Yang Tertangguh" bagi menganalisa keputusan pilihan raya umum ke 13.
Untuk membolehkan pandangannya disebarkan kepada pelajar Malaysia di Mesir yang ramai jumlahnya, Hasbie telah mencetak 1,000 naskhah buku itu di sana.
"Namun selepas 500 buah buku terjual, sebuah persatuan di sana telah tidak berpuashati dengan buku ini dan menuduh ia sesat.
"Lalu saya terpaksa membawa balik 500 buah yang belum terjual ini ke Malaysia," kata Hasbie yang menjadi panel dialog anjuran Persatuan Anak Kelantan di Lembah Klang (Persada) itu.
Hasbie melalui buku itu menulis, PRU-13 hakikatnya milik Pakatan Rakyat (PR).
Malangnya beberapa kelemahan yang tidak sempat diperbaiki serta pengendalian pilihan raya yang masih tidak sepenuhnya adil dan bersih menyebabkan kemenangan PR tergendala, kata Hasbie.
"Pakatan Rakyat khususnya Parti Islam SeMalaysia (PAS) selaku parti tunjang Melayu Islam perlu mengakui kelemahan yang masih membelenggu.
"Kelemahan perlu diatasi segera agar pahit jadam kekalahan tidak lagi terpaksa ditelan. Dengan keterbukaan semua pihak, kemenangan yang tertangguh akan dapat digapai dalam sistem pilihan raya umum akan datang," tulis Hasbie dalam kata pengantar buku itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan