HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 September 2013

13 Mei bukan sekadar Melayu gaduh dengan Cina, kata bekas ketua pengarang Utusan

Kepada Said Zahari, peristiwa 13 Mei akibat dari golongan yang tidak senang melihat keharmonian bangsa di negara ini. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 1 September 2013. 
 Kepada Said Zahari, peristiwa 13 Mei akibat dari golongan yang tidak senang melihat keharmonian bangsa di negara ini. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli,


Bekas Ketua Pengarang Utusan Said Zahari mengatakan tragedi berdarah yang berlaku dalam negara pada 13 Mei 1969 lebih besar dari sekadar pergaduhan antara kaum Melayu dan Cina.

Beliau mengulas filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba yang mempunyai latarbelakang peristiwa itu.



 "13 Mei bukanlah mengenai kaum Melayu bergaduh dengan kaum Cina tapi ia lebih dari itu, ia akibat dari golongan tidak senang melihat keharmonian bangsa dinegara ini," katanya dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insider sempena ulangtahun Hari Merdeka ke-56.


"Sewajarnya sejarah harus dinilai dari keseluruhannya dan dilihat dari perkembangannya," katanya ketika ditemui dirumahnya Puncak Alam, Selangor.

Dakwa beliau rusuhan kaum ketika itu terjadi kerana bekas penjajah akan menghalang segala usaha penyatuan kaum di negara ini dengan harapan dapat kembali menjajah.

"Ketika berada dalam tahanan saya bersama rakan-rakan berbincang mengenai insiden itu dan kami merasakan timbul perkara  tidak sihat dalam isu itu," kata Said merujuk kepada penahanannya di bawah ISA di Singapura.

Katanya British sebenarnya tidak mahu memberi kemerdekaan di negara ini namun mereka terpaksa akur dengan kebangkitan rakyat bukan saja di Malaya pada ketika itu termasuk di seluruh Nusantara selepas tamatnya Perang Dunia Kedua.

Kerana itu katanya, para sejarawan negara perlu kembali kepada sejarah dahulu dan meneliti unsur-unsur yang mahu memecah belahkan perpaduan rakyat.

Mengulas cadangan Lim Kit Siang yang mahu kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat semula peristiwa 13 Mei, Said menyifatkan ia cuma permainan politik dari seorang ahli politik.

"Tidak ada salah untuk mengkali semula insiden tersebut namun hakikatnya kita kenal siapa Lim Kit Siang, beliau seorang ahli politik hanya mengambil kesempatan atas tragedi tersebut," kata Said.

Bekas ketua pengarang Utusan itu mengatakan Umno tidak mampu bertahan lama sekiranya parti nasionalis itu tidak keluar dari kepompong kemelayuannya.

Said yang pernah memimpin akhbar itu sebelum diambil alih Umno pada tahun tahun 1961 berkata parti Melayu itu kini sudah semakin lemah dan perjuangannya boleh dianggap lesu.

"Umno itu sekiranya masih sama tidak keluar dari kepompong kemelayuannya maka ia cuma menunggu masa rebah, sekiranya masih wujud, ia hanyalah tinggal pada nama dan isinya kosong tiada perjuangan hanya kepentingan," katanya.

Pada 1961, Said memimpin wartawan Utusan mogok kerana membantah tindakan Umno untuk menguasai akhbar itu.

Bagi lelaki berumur 85 tahun itu, Utusan harus kekal bebas dari penguasaan mana-mana parti politik selari dengan prinsip kewartawanan yang baik.

Akibatnya beliau dilarang masuk ke Malaya pada ketika itu oleh bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman yang juga Menteri Dalam Negeri.

Said yang kini sedang menyiarkan memoir ketiganya berjudul "Menggegam Segumpal Harapan" ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Singapura selama 27 tahun oleh bekas Perdana Menteri Lee Kuan Yew.

"Ramai yang tidak tahu penentang penjajah ialah mereka dari Parti Komunis Malaya (PKM) mereka inilah yang bertempur malah ramai yang terkorban demi menuntut kemerdekaan.

Kerana mereka ini lantang dan bersifat radikal tidak seperti pihak tertentu yang kononnya memperjuangkan kemerdekaan namun didepan penjajah tunduk pada kuasa asing itu PKM digambarkan sebagai pemberontak cuba menghancurkan negara walhal kenyataannya bukan begitu," katanya mengulas mengenai peristiwa di ambang kemerdekaan sebelum 31 Ogos, 1957.

Tiada ulasan: