PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
Saya tertarik membaca kenyataan seseorang – tidak pasti samada
sarcastic ataupun jujur - yang menyatakan sesiapa yang pergi menziarah
kubur Rasulullah SAW di Madinah sekarang, baginda tiada di sana. Baginda
sibuk hadir dalam majlis-majlis anjuran ustaz-ustaz di Malaysia.
Saya
tidak pasti kenapa dia berkata begitu. Namun apa yang saya pasti saya
mendengar banyak pihak dengan mudahnya kebelakangan ini mendakwa Nabi
SAW yang mulia itu hadir dalam majlis ini dan itu anjuran mereka. Ada
yang mendakwa Nabi SAW mengiringinya ke meja kuliahnya. Ada yang
mendakwa dia nampak Nabi SAW sedangkan orang lain tidak nampak. Dunia
facebook pun meriah dengan cerita-cerita ini.
Ada yang cuba
membuktikan kebenaran aliran yang dibawanya, ataupun tarekatnya, ataupun
kelebihan majlisnya dengan kehadiran Nabi SAW yang hanya dapat dilihat
oleh beberapa orang tertentu sahaja. Hal yang sama pernah didakwa oleh
Ashaari al-Arqam dahulu. Bahkan beliau cuba membuktikan kebenarannya itu
dengan pelbagai cara, termasuk mimpi tokoh itu dan ini yang membuktikan
kesahihan ajaran yang dibawa olehnya.
Bukan Hujah
Dalam
Islam, kebenaran itu dibuktikan oleh dalil-dalil dari al-Quran dan
al-Sunnah. Segala keputusan ijmak dan kesimpulan qias berjalan
berteraskan dua sumber utama itu. Penghujahan berasaskan al-Quran dan
al-Sunnah dapat difahami dan dikongsi oleh pihak yang mendengar, yang
bersetuju ataupun yang membantah kesimpulan yang dibuat. Namun jika
hujah itu berteraskan mimpi ataupun ilham ataupun kasyaf, siapa yang
boleh berkongsi perkara yang tidak dilihat oleh orang lain.
Kata Dr Yusuf al-Qaradawi:
“Di sana ada golongan sufi yang melampaui batas dalam menilai ilham.
Bahkan ada di kalangan mereka yang mengiranya sebagai jalan mengetahui
kebenaran yang tidak akan silap. Mereka mencerca ulama syariat yang
berpegang kepada dalil dan tidak menerima sesuatu dakwaan tanpa bukti
daripada hujah yang baik atau akal atau wahyu. Golongan sufi ini
mencerca mereka dengan menyatakan mereka ini jumud dengan ilmu zahir.
Bagi mereka; ilmu zahir kedudukannya seperti kulit, sedang ulama syariat
berpaling daripada ilmu batin yang mana kedudukannya seperti isi”.
(Al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim al-Mu`asir, m.s. 134. Beirut:
Muassasah al-Risalah).
Jika diandaikan mimpi dan ilham itu
benar-benar terjadi, siapakah pula yang dapat memastikan itu semua
daripada Tuhan, bukan pula bisikan syaitan?! Jika mimpi dan ilham itu
oleh para Nabi s.a.w tentu tidak dipertikaikan. Adapun berhujah dengan
alasan mimpi orang biasa yang terdedah kepada cakap benar dan bohong,
ataupun ditipu oleh syaitan, maka itu bukan bukti kebenaran sesuatu
perkara.
Kata Dr Wahbah al-Zuhaili:
“Adapun ilham,
ada kemungkinan ianya daripada Allah, kemungkinan juga ianya daripada
syaitan seperti yang dinyatakan oleh firman Allah: (terjemahannya): dan
sesungguhnya syaitan-syaitan itu membisikkan kepada
pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu. (Surah
al-An`am: 121).”
Katanya lagi:
“Kemungkinan
juga ianya adalah bisikan atau percakapan dalam dirinya. Ini seperti
yang nyatakan oleh firman Allah : (terjemahannya) Dan demi sesungguhnya,
Kami telah mencipta manusia dan Kami mengetahui apa yang dibisikkan
oleh dirinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada
urat lehernya. (Surah al-Qaf: 16).
Sambungnya lagi:
“Dengan kemungkinan-kemungkinan ini, ilham tidak boleh menjadi hujah.
Berkaitan dengan ini, maka pendapat sebahagian sufi bahawa ilham atau
kasyaf adalah hujah yang wajib beramal dengannya di dalam hukum-hakam
syarak adalah sesuatu yang batil”.( Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh
al-Islami, 2/924-925, Beirut: Dar al-Fikr)
Lemah
Tokoh ilmuwan terbilang, pakar Maqasid Syariah yang hebat iaitu al-Imam al-Syatibi (w. 790H) :
“Selemah-lemah hujah mereka ialah puak yang dalam mengambil amalan
agama bersandarkan mimpi-mimpi. Mereka ini berpegang atau meninggalkan
sesuatu amalan berdasarkan mimpi-mimpi tersebut. Mereka berkata: “Kami
bermimpi lelaki solih tertentu berkata kepada kami: Tinggalkan ini!,
buat ini”. Ini banyak berlaku kepada mereka yang mengamalkan panduan
tasawwuf. Di kalangan mereka ada yang berkata: “Aku melihat Nabi SAW
dalam mimpi, baginda berkata kepada sebegini..dan memerintah aku
sebegini”. Lantas dia pun mengamalkannya dan meninggalkan apa yang
ditetapkan oleh syari`at. Ini adalah salah, kerana mimpi selain para
nabi tidak boleh menghukum ketetapan syarak, dalam apa keadaan
sekalipun. Melainkan setelah dibentangkan kepada hukum-hakam syariat
yang ada. Jika dibolehkan, maka ianya diamalkan, jika tidak ianya
ditinggalkan”. (Al-Syatibi, Al-`Itisam, 198. Beirut: Dar al-Kitab)
Saya sangat suka dengan komentar Ibn Taimiyyah (w. 728H) dalam hal ini. Katanya:
“Dalam kalangan mereka ada yang melihat empunya kubur datang kepadanya,
sedangkan dia telah lama mati. Lalu dia berkata: “Akulah si fulan”.
Mungkin juga dia berkata : “Kami ketika diletakkan di dalam kubur kami
boleh keluar…”. Syaitan dalam banyak keadaan menyerupai rupa insan,
samada dalam tidur atau jaga. Kadang-kala dia datang kepada sesiapa yang
tidak mengetahui dan berkata : “Akulah syeikh si fulan, atau alim si
fulan”. Kadang kala syaitan berkata : “Aku Abu Bakr, Umar…” Kadang-kala
pula dia datang ketika jaga (yaqazah) bukan mimpi lalu berkata : “Aku
al-Masih (Isa)” , atau “aku Musa” atau “aku Muhammad”.
Aku (Ibn Taimiyyah) tahu perkara yang seperti ini berlaku dalam
berbagai-bagai cara. Maka di sana ada yang mempercayai bahawa para nabi
datang dalam jaga (yaqazah) dalam rupa mereka yang asal. Di sana juga
ada para syeikh yang zuhud, berilmu, warak dan beragama mempercayai
perkara seperti ini. Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa dia
apabila datang ke kubur seseorang nabi, maka nabi tersebut akan keluar
daripada kuburnya –dalam rupanya yang asal- dan bercakap dengannya. Di
kalangan mereka ada yang melihat rupa seseorang syeikh di bahagian dalam
Ka’bah, dia berkata: “Aku Ibrahim al-Khalil (Nabi Ibrahim)”. Di
kalangan mereka ada yang menyangka bahawa Nabi SAW keluar daripada kubur
baginda lalu bercakap dengannya. Golongan sufi menjadikan ini sebagai
karamahnya. Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa dia jika
bertanya orang di dalam kubur nescaya mereka akan menjawabnya”.
Sehingga
Ibn Taimiyyah menceritakan ada di kalangan mereka yang apabila ada
masalah akan datang dan bertanya kepada Nabi SAW, lalu Ibn Taimiyyah
menyebut:
“Sehingga kata Ibn `Abd al-Barr (w. 463H)
kepada mereka yang mempercayai sebegini: “Celaka engkau, apakah engkau
berpendapat orang ini lebih afdhal daripada al-Sabiqin al-Awwalin
(mereka yang awal menganut Islam) dari kalangan Muhajirin dan Ansar?.
Apakah ada di kalangan Muhajirin dan Ansar sesiapa yang bertanya Nabi
SAW (selepas baginda wafat) dan baginda menjawabnya?!! Sahabah (selepas
Nabi s.a.w wafat) telah bercanggah pendapat dalam banyak perkara, adakah
mereka bertanya Nabi SAW dan baginda menjawabnya?!!. Ini Fatimah anak
baginda yang berselisih pendapat dalam pusaka baginda (isu tanah Fadak
dengan Abu Bakar al-Siddiq), adakah beliau bertanya Nabi SAW dan baginda
menjawabnya”.( Ibn Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 5/399. Riyadh: Maktab
al-`Abikan)
Lebih Mulia?
Malangnya
ini yang dipercayai oleh sesetengah pihak, sehingga mereka percaya ada
tokoh tertentu boleh berjumpa Nabi SAW bila-bila masa sahaja yang mereka
mahu. Kita tahu bahawa selepas kewafatan baginda SAW. telah berlaku
pertelingkahan di kalangan sahabah terutama dalam isu pembunuhan `Uthman
bin `Affan RA, sehingga membawa perang Jamal dan Siffin. Tiada siapa di
kalangan sahabah yang mendakwa mereka akan merujuk perkara ini kepada
Nabi SAW di kubur baginda, atau memanggil roh baginda. Bahkan mereka
kebanyakannya amat keliru dengan keadaan ketika itu. Kata al-Nawawi (w.
676H):
“Mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Haqq ialah berbaik
sangka terhadap para sahabah. Tidak mencampuri pertelingkahan yang
berlaku antara mereka. Ahl al-Sunnah mentakwilkan peperangan antara para
sahabah dengan menganggap bahawa mereka adalah mujtahidin yang membuat
takwilan bukan berniat untuk bermaksiat atau semata-mata kerana dunia.
Bahkan setiap golongan sahabah telah beritiqad bahawa merekalah yang
benar, sesiapa yang menentang mereka adalah melampau dan wajib diperangi
agar kembali kepada perintah Allah..”. Tambahnya lagi: “Isu-isu ketika
itu mengelirukan sehinggakan kebanyakan sahabah merasa bingung dengannya
lalu mengambil keputusan meninggalkan kedua-dua golongan dan tidak
berperang serta tidak berkeyakinan tentang siapa yang benar”.(
Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim 18/339. Beirut: Dar al-Khair)
Demikian
juga apabila Abu Bakr dan `Umar berselisih pendapat mengenai mereka
yang enggan membayar zakat di zaman pemerintahan Abi Bakr, tiada seorang
dari kalangan mereka berdua yang menyatakan: “Mari kita bertanya
RasululLah!!. Ada sesiapa yang lebih afdhal daripada Abu Bakr dan
`Umar?!!!.
http://drmaza.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan