HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Januari 2014

Isu kalimah: Cari pencerahan, bukan tambah kekeliruan

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa usaha untuk menangani isu kalimah Allah di kalangan umat Islam khususnya dan rakyat amnya hendaklah diuruskan secara ilmu bukan emosi.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, persoalan kalimah Allah lebih wajar diserahkan kepada para ilmuan dan ulama yang berwibawa dalam keilmuan Islam.

“Membiarkan sentimen dan emosi yang tidak berdasarkan ilmu untuk membahaskan isu ini akan menambahkan kekeliruan dan boleh menyebabkan umat Islam sendiri berpolemik,” ujarnya dalam satu kenyataan, seperti di bawah.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa usaha untuk menanggani isu kalimah Allah di kalangan umat Islam khususnya dan rakyat amnya hendaklah diuruskan secara ilmu bukan emosi.

Persoalan kalimah Allah lebih wajar diserahkan kepada para ilmuan dan ulama yang berwibawa dalam keilmuan Islam.

Membiarkan sentimen dan emosi yang tidak berdasarkan ilmu untuk membahaskan isu ini akan menambahkan kekeliruan dan boleh menyebabkan umat Islam sendiri berpolemik.

Kami juga tidak bersetuju persoalan ini dipanjangkan kepada debat  dalam media yang menyebabkan masyarakat awam menjadi tegang dan keliru.

Isu ini yang telah diheret ke mahkamah sepatutnya tidak berlarutan. Kenyataan Yang di-Pertauan Agong yang menegaskan kalimah Allah adalah esklusif untuk kamu Muslimin tidak bermakna hak agama lain dinafikan.

Soal kalimah Allah dalam bible berbahasa Melayu tidak boleh mengguna kalimah Allah di Semenanjung tetapi dibolehkan di Sabah dan Sarawak adalah suatu keputusan yang tidak bijak.

Apakah ada mekanisme untuk bible berbahasa Melayu yang berada di setiap rumah atau di setiap tangan orang bukan Islam di Sarawak dan Sabah disemak sama ada mempunyai kalimah Allah atau tidak adalah tidak praktikal.

Oleh sebab itu kami berpendirian adalah tidak bijak untuk mendebatkan isu ini secara terbuka kerana ia akan mendapatkan kekeliruan lebih dari pencerahan.

Apa yang perlu dilakukan ialah isu kalimah Allah dibincangkan di kalangan golongan ilmuan yang menguasai isu ini secara mendalam dan suatu kesepakatan dicapai untuk memberi panduan kepada umat Islam.

Kami amat kesal bahawa akibat isu ini diperdebatkan nampaknya memecahbelahkan orang Islam lebih dari menyatukan mereka. Ini adalah lantaran perbahasannya tidak terjurus secara ilmu tetapi dibiarkan dibawa ke mahkamah dan dibincang secara emosi.

Kami menegaskan peruntukan Perkara 4 dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai penyebar agama lain kepada orang Islam perlu dihormati. Oleh itu sebarang usaha untuk mengambil kesempatan dari isu ini perlu ditegaskan bahawa pihak berkuasa agama  berhak bertindak jika penyebaran agama lain kepada orang Islam dilakukan.

Kami mengusulkan supaya pengukuhan terhadap memelihara kalimah Allah tidak terhenti kepada mempertahankan kalimah Allah semata-mata, apatah lagi mengaut keuntungan politik.

Para ulama, ilmuan dan pihak berkuasa agama perlu mencari titik temu yang boleh disepakati, menghentikan polemik terbuka di kalangan umat, mengekang eksploitasi media dan politik serta mendidik rakyat supaya saling menghormati hak antara agama dalam rangka perlembagaan negara.

Tiada ulasan: