HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Januari 2014

Kalau nak berubah mara ke depan, jangan berundur ke belakang



Oleh Aspan Alias


Perdana Menteri kita sudah dihinggapi penyakit bisu. Banyak isu yang beliau mesti jawab tidak terjawab. Semakin hari semakin bertimbun isu terhadap kerajaan, lebih-lebih lagi terhadap isu beliau sendiri. Sikap beliau kini, menyumbang kepada persepsi rakyat yang beliau sudah hilang penguasaan terhadap kerajaan dan negara.

Sindrom bisu yang beliau hadapi telah membawa banyak spekulasi yang liar dan tidak menentu. Mungkin beliau mahukan keadaan tidak menentu ini dijadikan alasan untuk beliau melakukan tindakan drastik terhadap banyak pihak. Tetapi beliau tidak menyedari yang musuhnya dalam parti sendiri kian berkembang dan melarat.


Najib tidak memerlukan pembangkang untuk bermusuh. Beliau mempunyai rakan-rakan yang melakukan ‘insubordination’ terhadap diri dan kepimpinan beliau. ‘Having the kind of friends within his Cabinet and UMNO ruling party, he does not need any enemy outside UMNO anymore’.

‘Recipient’ terbesar kepada keadaan ini akan membolehkan BN kalah dalam pilihanraya yang akan datang. Itu pandangan Daim Zainuddin sendiri. Daim berpendapat Najib tidak menyumbang apa-apa kepimpinan kepada negara dan kata-kata ini di sebutnya semasa berjumpa dengan UMNO Bahagian Merbok baru-baru ini dan berita ini tersebar luas dalam media ‘alternatives’ negara.

Berita usaha setengah pihak dalam UMNO yang inginkan Najib digugurkan dari jawatan Perdana Menteri ini semakin nampak kebenarannya. Najib masih membisu dan tidak nampak apa tindakan yang boleh memberikan keselamatan dan keselesaan kepada kedudukan beliau. Najib semakin hari semakin hilang keyakinan terhadap beliau, bukan sahaja dari orang ramai malahan dari rakan-rakan sendiri dalam kabinet beliau.

Mereka yang menjadi penyokong kuat beliau sendiri mendiamkan diri, tidak berkata apa-apa kerana mereka juga ada banyak perkara yang mereka hendak jaga dan segala-galanya akan punah ranah jika Najib berhenti dari jawatannya. Politik dalam UMNO ada kewujudan kezalimannya. Apabila seorang pemimpin itu sudah tidak disukai, beliau akan menjadi tempat lemparan segala perkara yang busuk dan tidak baik.

Apabila sudah jatuh mereka yang makan dari tangannya itu sendiri akan menyepak dan menerajang pemimpin itu. Mereka di keliling Najib yang telah mendapat banyak keuntungan itu, akan lebih menjaga apa yang mereka dapati dari Najib dari membela Najib sendiri. Mereka akan meninggalkan Najib dan akan terus mencari jalan untuk mendekati mereka yang akan mengambil alih kepimpinan nanti.

Ramai yang mula bertanya, siapa yang patut mengambil alih kepimpinan Najib sekarang ini?

Ada yang mencadangkan supaya Dr Mahathir kembali ke Putrajaya dan menjadi Mentor Perdana Menteri. Ada yang menyokong dan ada yang tergelak mendengar cadangan itu. Kepimpinan seseorang itu bergantung kepada sikap dan cara  masing-masing. Dr Mahathir telah kita lihat cara dan sistem pentadbiran beliau. Maka jika Dr Mahathir kembali ke Putrajaya maka apa yang kita telah alami selama beliau mentadbir akan kembali sebagai budaya dan cara beliau mentadbir.

Yang pasti akan kita lihat ialah mereka yang mempunyai bakat untuk memimpin akan terhakis samasekali. Malahan kekosongan pimpinan hari ini adalah hasil kerja beliau. Terjadilah Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan Najib sebagai penggantinya adalah bekas tangan beliau, malah selama ini pun beliau telah pun menjadi Mentor Perdana Menteri.

Sekarang beliau di minta kembali dan tahu saja lah apa yang akan kita tengok dan saksikan. Budaya bergaduh dengan semua pihak ini, adalah budaya ciptaan beliau. Itu kita sedang jelas terlihat kini.

Semasa beliau menjadi Perdana Menteri beliau bergaduh dengan semua pihak. Bergaduh dengan peguam-peguam, bergaduh dengan kesatuan sekerja, bergaduh dengan hakim-hakim  malahan yang paling hebat sekali bergaduh dengan Raja-Raja Melayu.

Beliaulah menjadi Raja, beliau juga menjadi hakim, beliaulah ketua kesatuan sekerja dan beliaulah segala-galanya. Negara seolah-olah beliau yang punyai dan bukan rakyat yang demokratik yang punya. Beliau telah merobohkan segala institusi demokrasi sehingga hari ini semua institusi demokrasi diperguna oleh UMNO dan BN atau lebih tepat lagi oleh Perdana Menteri.

Bak kata perpatah ‘ayah kencing berdiri anak kencing berlari’. Pimpinan hari ini cuba meniru gaya beliau mentadbir dahulu tetapi tidak berapa menjadi. Seandainya beliau kembali bagaimana keadaan semasa beliau sudah tiada kerana pada anggapan penyokongnya beliau ada ‘indispensible’. Boleh lah beliau mentadbir kembali jika pasti beliau boleh hidup sehingga umur 120 tahun misalnya.

Beliau tidak pernah membina kepimpinan semasa berkuasa, dan itulah sebabnya pemimpin seperti Najib boleh dijadikan Perdana Menteri. Semua pemimpin didikan Tun Razak telah beliau hapuskan sehinggakan hanya beliau seorang yang hidup tercegat dan diminta oleh penyokongnya sebagai pemimpin yang tidak dapat diganti sampai bila-bila.

Jika beliau berada di Putrajaya nanti, mungkin yang pertama beliau lakukan ialah dengan membunuh UMNO itu dahulu. UMNO sekarang itu adalah UMNO baru dan jika beliau hapuskan UMNO ini apa pula UMNO yang akan dinamakan?

ISA mungkin akan kembali kerana Mahathir tidak mampu bertahan jika tidak ada ISA. Kita mungkin melihat kita akan membayar kerugian perniagaan anaknya seperti beliau pernah lakukan pada tahun 1996 dahulu menggunakan wang rakyat untuk menyelamatkan Mirzan.

Panjang lagi untuk ditulis, biarlah kita berhenti setakat ini sahaja. Nanti marah pula penyokong-penyokongya. Kita tidak kuasa untuk terus bergaduh lagi. http://aspanaliasnet.blogspot.com

Tiada ulasan: