Bagi masyarakat umum, Datuk Harun Taib melambangkan imej PAS yang konservatif – sebuah parti yang mahu membentuk Malaysia sebagai sebuah masyarakat berpaksikan Islam dan mengikut undang-undang moral yang ketat.
Akan tetapi, pemergian Ketua Dewan Ulama PAS itu semalam (25 Januari) tidak bermakna perjuangan beliau untuk menegakkan sebuah negara Islam dan melaksanakan undang-undang hudud berakhir.
Sebaliknya, jika melihat kepada mood parti Islam itu dalam muktamarnya pada November lepas, perjuangan Harun masih hidup di kalangan pemimpin dan akar umbi parti. Akan tetapi semangatnya diterjemahkan di dalam bentuk yang berlainan.
Semasa beliau hidup, Harun merupakan salah seorang pemimpin kanan PAS yang kerap meluahkan pendapat yang tidak selari dengan pendekatan parti itu yang dilihat semakin terbuka dan inklusif.
Malah di muktamar PAS itu yang merupakan terakhir baginya, beliau mengkritik pendekatan setengah pemimpin parti yang berpendapat kempen negara Islam dan perlaksanaan hudud membuatkan parti itu kurang mendapat sokongan pengundi.
Beliau juga masih berpendirian masyarakat bukan Muslim tidak boleh menggunakan kalimah Allah.
Ini adalah pendirian yang berbeza dengan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan Allah boleh digunakan oleh bukan Islam, dengan syarat perkataan itu tidak disalahgunakan.
Tetapi bagi ahli PAS yang sedih terhadap pemergian Harun, beliau disanjung kerana ketegasannya dalam perjuangan gerakan Islam walaupun kerap menjadi suara yang bercanggah.
Harun merupakan kesinambungan tradisi kepimpinan ulama di dalam PAS. Namun, beliau juga melambangkan bagaimana parti Melayu kedua terbesar itu perlu menyesuaikan tradisi itu dengan suasana masyarakat Malaysia yang mengalami perubahan sosial yang kompleks.
Sebagai Ketua Dewan Ulama dan di dalam perhubungan beliau dengan pemimpin parti lain yang kadang-kala tegang, Harun melambangkan cabaran bagi PAS dalam menyesuaikan prinsip-prinsipnya sebagai sebuah gerakan Islam dengan keperluan untuk berkompromi yang menjadi satu kemestian bagi sebuah parti politik.
TEGAS DAN BERDISIPLIN
Ketegasan Harun di mata masyarakat juga diterjemahkan semasa beliau mengetuai Dewan Ulama PAS. Akan tetapi sikap itu mendapat sambutan yang berlainan.
Menurut seorang aktivis parti dari Terengganu, ketegasan itu memastikan para ulama parti tidak terjebak di dalam permainan politik kuasa yang menjadi lumrah mana-mana organisasi politik.
“Beliau begitu tidak selesa dengan kempen agresif yang berlaku semasa muktamar dan pemilihan.
Apabila barisan baru pemimpin Dewan Ulama dibentuk, beliau menukar pemimpin yang didapati terlibat di dalam kempen untuk calon jawatankuasa pusat,” kata aktivis itu yang tidak mahu namanya disiarkan.
Bagi Harun, ahli PAS sepatutnya tidak berkempen untuk jawatan di dalam parti kerana ia adalah amanah yang perlu dipikul dan bukan anugerah untuk direbut.
Ketegasan dan sikap disiplin yang Harun cuba terapkan di dalam PAS amat dialu-alukankan oleh pemimpin dan akar umbi yang khuatir parti itu semakin hilang arah tujuannya sebagai sebuah gerakan Islam.
Dari sudut ini, peranan Harun amat penting untuk mengingatkan ahli bahawa PAS adalah sebuah gerakan. Ia hanya menggunakan politik dan proses demokrasi sebagai alat untuk “melaksanakan Syariah Islam”.
KEMBALI PADA ASAL
Bagaimanapun, ketegasan Harun di dalam pendiriannya mengenai pendekatan politik yang beliau fikir PAS patut ambil, juga membuatkannya nampak seperti suara yang tersisih pada muktamar November lepas.
Sehari sebelum muktamar penuh PAS di Shah Alam, Harun memberi sedikit ucapan ketika membuka mesyuarat tahunan Dewan Ulama. Kata-kata beliau boleh dirumuskan sebagai seruan bagi PAS untuk balik ke pendekatan asalnya.
Harun juga menyeru kepada pemimpin tertinggi PAS untuk mengkaji balik kerjasama politk bersama Pakatan Rakyat (PR) memandangkan prestasi PAS merundum di dalam pilihan raya umum ke-13.
“Ada pemimpin di dalam parti yang mengatakan jika kita cakap pasal negara Islam, pasal hudud, kita akan hilang sokongan bukan Muslim. Ada yang kata tak laku,” kata Harun.
Beliau merujuk kepada pemimpin yang mahu memperluaskan sokongan PAS dengan lebih menumpukan perhatian kepada isu “bukan spiritual´seperti membasmi rasuah dan menagani isu kenaikan harga barang.
“Tetapi bagi saya kita tak harus malu atau takut untuk melaungkan perjuangan kita kerana ini adalah perjuangan PAS.”
Pandangan beliau jarang diperkatakan di dalam muktamar. Walaupun ada pemimpin akar umbi yang mahu parti mengkaji semula hubungan dengan PR, namun mereka masih percaya bahawa secara keseluruhan, kerjasama itu menguntungkan PAS.
Tiada siapa yang membangkitkan kegusaran PAS hilang arah tuju jika tidak bercakap tentang negara Islam.
MENERUSKAN PERJUANGAN HARUN
Tetapi ini tidak bermakna ahli parti tidak bersetuju dengan Harun.
Sebaliknya akar umbi dan pemimpin parti dikatakan mendalami apa yang Harun selalu tegaskan sehingga mereka sudah tidak perlu melaungkannya setiap kali bermuktamar.
Bagi mereka, apa pun yang terjadi, PAS tetap akan mendirikan negara Islam.
Seperti yang dikatakan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Dr Dzulkefly Ahmad semasa ditemui di muktamar, kerajaan negeri PAS sudah berjaya memulakan proses memperkenalkan undang-undang hudud melalui dua enakmen di Kelantan dan Terengganu.
Bezanya mungkin pendekatan mereka dengan Harun. Pendekatan lama adalah dengan cuba mengenakan undang-undang hudud dan konsep negara Islam ke atas masyarakat walaupun masih ramai tidak faham mengenai kedua-duanya.
“Atau kita boleh membentuk suasana di dalam masyarakat yang dengan sendirinya mereka akan terima cita-cita PAS,” kata seorang pemimpin PAS Selangor yang tidak mahu namanya disiarkan.
Pendekatan ini melibatkan bekerjasama dengan organisasi politik yang sehaluan untuk mendapat kuasa politik bagi membawa perubahan yang bermakna.
Ia melibatkan kemenangan kerusi di dalam pilihan raya, memerintah kerajaan dan menghapuskan korupsi dan kemungkaran, memberi khidmat kepada rakyat, dan memenuhi permintaan-permintaan daripada masyarakat yang semakin kompleks dan pelbagai agama serta komuniti.
Akhirnya apabila masyarakat Malaysia sudah bersedia dan menjunjung cita-cita PAS, hudud dan konsep negara Islam akan dilaksanakan.
Justeru, walaupun Harun tidak menyedari perkara ini, parti yang beliau berkhidmat sehingga akhir hayat tetap akan merealisasikan perjuangannya satu hari nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan