HALAMAN SANTAI

Khamis, 9 Januari 2014

MTEM dakwa Petronas ibarat 'Si Tanggang'




Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) kesal dengan dakwaan “layanan buruk” oleh syarikat petroleum nasional, Petronas terhadap bekas penasihatnya, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Mohd Nizam Mahshar mendakwa Petronas bertindak mengosongkan pejabat Mahathir serta merta dalam masa 24 jam selepas beliau menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai penasihat Petronas kepada perdana menteri.

Katanya, Petronas tidak sepatutnya berbuat demikian kerana Mahathir didakwa memberi reaksi positif apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta agar Mahathir mempertimbangkan semula keputusan tersebut, awal bulan lalu.

"Sebaliknya, Petronas berdiam diri dan kami dimaklumkan menerusi sumber yang boleh dipercayai bagaimana layanan buruk diberikan terhadap Tun Mahathir apabila pejabatnya di KLCC dikosongkan dalam masa 24 jam selepas peletakan jawatan itu.

"Adakah begini cara Petronas membalas jasa negarawan yang telah meletakkan Petronas ke tahap Fortune 500 sedangkan sumbangannya selama  27 tahun memang tidak boleh disangkal sehingga ke hari ini.

"Ini adalah satu keangkuhan dan kita anggap (Petronas bertindak) macam Si Tanggang," kata Nizam yang kemudian memperjelaskan kenyataan itu ditujukan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abas.

Si Tanggang merupakan gelaran yang biasa diberikan kepada individu yang lupa daratan dan menderhaka kepada orang tua.

Mahathir, 88, ketika menjelaskan keputusannya beberapa hari selepas itu berkata, beliau berbuat demikian atas nasihat doktor,
  
"Saya dah tua, doktor pun suruh perlahankan sedikit aktiviti tetapi perdana menteri minta (mempertimbangkan semula keputusan itu), saya tidak tahulah.Tengok dulu macam mana...," kata Mahathir ringkas.

Tiada ulasan: