SHAH ALAM: Mana-mana pemimpin tidak kira daripada Barisan Nasional (BN)
mahupun Pakatan Rakyat (Pakatan) harus bersama-sama menanam sikap
terbuka menerima pandangan atau kritikan yang disuarakan rakyat dalam
membaikpulih pentadbiran mereka, kata penganalisis politik, Profesor
Datuk Dr Agus Yusoff.
Ini katanya, wujud keadaan pada hari ini apabila golongan pemimpin
hanya selesa menerima pujian dan penghargaan daripada orang-orang
sekeliling mereka sehingga bertindak pejam mata dengan kesengsaraan dan
bebanan rakyat akar umbi.
Agus berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Mufti Perlis,
Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa kerajaan yang suka
berprasangka buruk terhadap rakyatnya apabila dikritik tidak harus
menjadi kerajaan.
"Saya setuju dengan apa yang Dr Asri cakap. Sudah sampai masanya, siapa
pun kita untuk buka lembaran baru dalam politik, gaya dan cara baru
dalam politik.
"Masalah kita disini bukan setakat itu sahaja. Adanya pemimpin kita
yang alergik dengan pandangan yang berbeza dan ada pemimpin hanya suka
kepada pujian yang melambung. Ini masalah.
"Selagi kita tak mengubah sikap ini, jiwa kita tak besar dan kita
takkan dapat ubah kelemahan dan kekurangan pentadbiran kita sedia ada.
"Sebab pandangan kritikal dan analitikal serta berbeza ini yang baik
untuk negara ini kadang-kadang datang dari rakyat marhaen," katanya
ketika dihubungi Antarapos.
Asri semalam melalui posting di akaun Facebooknya selain itu turut
berkata, jika sikap sedemikian berterusan di dalam pentadbiran kerajaan,
maka tidak mustahil apabila rakyatnya mula membenci pemerintah sedia
ada.
Malah tambahnya, kritikan yang disuarakan rakyat tidak semestinya
bermaksud mereka memihak kepada mana-mana parti parti politik, khususnya
pembangkang.
Agus bagaimanapun berkata, kenyataan itu mungkin muncul akibat sikap
berdiam diri kerajaan persekutuan dalam isu kekecewaan rakyat yang kini
berdepan dengan isu kenaikan harga pelbagai barangan dan perkhidmatan.
"Ia tidak perlu (spesifik) mana-mana kerajaan. Kalau kerajaan, ada
kerajaan pembangkang, ada kerajaan BN di peringkat pusat dan negeri.
"Kita rujuk kepada semua kerajaan dan pemimpin. Tapi di peringkat
pusat, itulah masalahnya sebab kita bungkam dengan bantahan rakyat. Kita
lari jauh dari aspirasi rakyat," katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Agus turut meminta individu atau pihak yang ingin
mengkritik pentadbiran kerajaan menggunakan cara yang betul agar ia
tidak memalukan mana-mana pemimpin seterusnya akan menimbulkan
kebencian.
"Pada sesiapa yang kritik atau tegur kerajaan, jangan kita sumpah
peribadi sebab ini boleh timbul kebencian. Ini silap. Tak boleh. Bantah
kepada polisi kerajaan, bukan kepada personaliti dan peribadi orang.
Malu orang," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan