PUCHONG: Tiada keperluan PKR untuk menjadi 'orang tengah' dalam mencari
kata sepakat dan penyelesaian mengenai tindakan Jabatan Agama Islam
Selangor (JAIS) menyerbu dan merampas Bible berbahasa Melayu dan Iban
milik Persatuan Bible Malaysia (BSM) baru-baru ini.
Pendirian itu dinyatakan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim
sambil menegaskan pihak berkepentingan perlulah mengadakan dialog secara
terbuka bagi mencari ruang 'pendamaian'.
"Semasa Saidina Ali hadapi masalah, dia hantar Ibnu Abbas kerana dia
dianggap "man of integrity" dan dihormati oleh kedua-dua pihak,
pandangannya yang tegas dan bebas, jadi dia dihantar sebelum buat
keputusan.
"Kita tidak (berbincang), bukan soal orang tengah atau tidak, belum
sampai ke situ lagi, tapi kena ada dialog," katanya kepada pemberita di
Centre For Reform, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas lanjut kesediaan PKR sebelum ini untuk
menjadi orang tengah bagi mempertemukan semua pihak yang terlibat dalam
konflik selepas serbuan Jais ke premis BSM dan merampas Bible berbahasa
Melayu dan Iban.
“PKR yakin pendekatan berhikmah dalam menangani isu keagamaan adalah
cara terbaik bagi mengelakkan ketegangan antara penganut agama Islam dan
Kristian di negara ini berterusan.
Anwar berkata, insiden itu juga turut mendapat reaksi negatif dari
pihak luar negara sekali gus memburukkan keadaan yang dianggap sebagai
'layanan prejudis' terhadap penganut Kristian di negara ini.
"Pihak luar sana beranggapan ia sebagai gangguan kepada penganut Kristian di Malaysia dan itu tidak elok.
"Saya pertahan, saya kata rakyat Malaysia umumnya kita tidak ada
prejudis itu, tapi kita nampak persepsi itu kian parah," katanya yang
dipetik dari laporan Sinar Harian.
Sebelum ini, Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty menyatakan
kesediaan PKR mengambil inisiatif mempertemukan semua pihak yang
terlibat dalam kes rampasan Bible oleh Jais agar sama-sama berbincang
menyelesaikan permasalahan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan