Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang (gambar) menyeru agar rakyat Malaysia menolak agenda politik lapuk Barisan Nasional (BN) dan membuka ruang untuk politik baru yang dibawa Pakatan Rakyat (PR).
Dalam perutusan Tahun Baru 2014 beliau, veteran DAP, yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah itu menegaskan "politik pembodohan dengan menggunakan aparat-aparat perkauman dan agama tidak lagi relevan dan hanya membawa negara ke arah kemunduran".
"Adalah amat dayus bagi pihak pemerintah untuk mengaburi mata rakyat daripada melihat kegagalannya mengurus ekonomi sehingga mengakibatkan inflasi dan kenaikan kos sara hidup yang begitu teruk, dengan menyajikan penipuan, fitnah serta politik permainan sentimen agama dan perkauman sempit," katanya dalam perutusan tersebut.
Zaman kini jelasnya sudah berubah dan hari ini rakyat dari segenap lapisan usia kian celik dan sedar melalui jaringan maklumat di internet dan laman media sosial.
Generasi akan datang juga, jelas Lim, harus dipersiapkan dengan ilmu dan maklumat yang benar, selain dipastikan tidak menjadi mangsa pembodohan terancang pihak pemerintah yang tidak lain hanya mahu supaya rakyatnya tidak terlalu cerdik sehingga mampu melawan kezaliman dan salahguna kuasanya.
Pilihan Raya Umum (PRU) pada 5 Mei lalu jelasnya adalah petunjuk sebenar rakyat negara ini menolak propaganda kerajaan apabila beberapa kerusi yang dikatakan menjadi "kubu" Umno dan BN berjaya ditembusi wakil daripada PR.
"Kita harus sentiasa optimis bahawa segala yang terjadi sepanjang tahun lalu adalah batu-batu asas yang akan merintis jalan ke arah perubahan.
"Perubahan itu sifatnya abadi. Setiap waktu, setiap hari; perubahan tidak berhenti. Tidak ada siapa yang mampu menahan perubahan daripada berlaku ketika ia datang tepat pada waktu," katanya.
Jelasnya lagi, pada PRU 2008 yang lalu, rakyat Malaysia telah melihat tsunami politik yang begitu besar, dengan beberapa buah negeri berjaya ditadbir oleh gabungan politik parti-parti pembangkang dari PR.
Pada 2013, jelas Lim, ombak perubahan politik yang lebih kuat terus membadai lantas berkesudahan dengan pertambahan kerusi PR di Parlimen, selain menafikan majoriti undi popular parti pemerintah.
"Pasca 505, negara menyaksikan harapan dan impian baru yang selama ini jarang-jarang diyakini boleh tercapai.
"Meski pun harapan rakyat untuk melihat perubahan rejim tidak kesampaian, kita masih boleh merasakan kehendak rakyat yang semakin berkobar-kobar mahukan sebuah perubahan, dan tanggungjawab membawa perubahan ini haruslah digalas bersama," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan