Polis Selangor merampas sebanyak 56 helai baju-T semalam yang mempunyai
pelbagai tulisan berunsur provokasi dipercayai untuk dipakai pada
perhimpunan ketika sambutan ambang Tahun Baru malam ini.
Timbalan Ketua Polis Selangor DCP Datuk Abd Rahim Jaafar berkata
kesemua baju itu dirampas dalam serbuan pada pukul 2 pagi semalam di
sebuah rumah di Taman Lestari Perdana, Seri Kembangan dekat sini hasil
maklumat awam dan risikan.
"Hasil serbuan, polis menemui 56 helai baju-T yang mempunyai pelbagai
cetakan tulisan yang mempunyai elemen subversif serta boleh menimbulkan
provokasi.
"Polis turut merakam percakapan seorang lelaki berumur 37 tahun yang
menghuni rumah itu yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan
baju tersebut," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen
Selangor di Shah Alam hari ini.
Abd Rahim berkata siasatan awal mendapati lelaki itu yang bekerja
sebagai “freelance” menjual baju-T tersebut dengan harga RM30 sehelai
menerusi internet.
Katanya, polis masih menjejaki suspek utama kes ini iaitu rakan serumah
lelaki berumur 37 tahun itu yang dipercayai terlibat dalam aktiviti
mencetak kesemua baju berkenaan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan iaitu
percubaan dalam aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen dan jika
sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan