HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Mei 2014

Anwar: Zahid mesti tegas heret samseng Umno ke muka pengadilan

Oleh Nazar Hashim


BUKIT GELUGOR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mesti bertindak tegas mengheret samseng Umno yang terlibat dalam insiden pencerobohan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang baru-baru ini ke muka pengadilan dan tidak berat sebelah terhadap perbuatan memalukan itu.

serbu 2“Sama ada Zahid suka atau tidak kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, tindakan samseng Umno itu terbukti jelas mencemarkan sistem demokrasi negara.

“Sekiranya kerajaan tidak mampu pertahankan peraturan undang-undang, lebih baik berundur daripada menjadi kerajaan yang lemah dan tidak bertanggungjawab,” kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 1,000 hadirin pada Ceramah Mega Perdana Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor, di Dewan Sekolah Menengah Han Chiang, Air Itam malam tadi.

Pada 21 Mei lalu, kumpulan diketuai Naib Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Jasmin Noordin itu menyerbu masuk sidang DUN Pulau Pinang kira-kira jam 2 petang.

Kumpulan kira-kira 100 orang itu merempuh pagar utama DUN bagi membantah kenyataan ADUN Seri Delima, RSN Rayer yang didakwa menggelar pemimpin Umno sebagai ‘celaka’.

serbuMereka juga menjerit nama Rayer hingga menimbulkan suasana bingit. Manakala sebahagiannya memanjat meja Speaker dan mengancam membaling telur kepada Rayer.

Turut bersama kumpulan itu, Ketua Wira Perkasa Pulau Pinang, Rizuad Azudin serta Ghani Jiman yang pernah menghantar kek berbentuk najis manusia kepada Ketua Menteri Pulau Pinang pada 2011. Tindakan biadap itu menyebabkan sidang DUN ditangguhkan selama sejam.

Anwar selanjutnya mempersoal pendirian polis dan pasukan keselamatan dalam menangani serangan tersebut.

Beliau membidas tindakan berat sebelah polis kerana bertindak pantas terhadap insiden yang didakwa melibatkan penyokong Pakatan Rakyat.

“Buktikan polis dan kerajaan sememangnya tidak ‘double standard’ dalam menangani isu serangan samseng Umno yang memalukan seluruh negara.

“Buktikan juga undang-undang dan sistem keadilan negara ini tiada beza untuk pemimpin Umno jika dibandingkan dengan rakyat bawahan.

“Saya akan tetap berdiri teguh di belakang kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menentang provokasi dan tindakan samseng-samseng tersebut,” kata Anwar lagi.

Tiada ulasan: