UiTM ibarat membaling batu sembunyi tangan
Minda rakyat terus ditanam dengan persepsi bahawa UiTM kekal sebagai universiti rasis.
PETALING JAYA: Pada 6 Mei lalu, pihak Akademi Pengajian Islam Kontemperori (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menganjurkan ‘Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara’ selama sehari yang mana dalam majlis itu, turut dihadiri oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Majlis bermula pada jam 7.30 pagi dan berakhir pada 5.30 petang itu telah dikhususkan untuk beberapa slot, seperti sejarah agama Kristian, budaya Kristian, ancaman Kristianisasi, penggunaan kalimah Allah dan Kristianisasi vs Islamisasi: ke manakah arusnya.
Ternyata, program itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan pelajar UiTM sendiri dan juga telah mendapat liputan oleh pihak media.
Liputan pihak media lebih terarah kepada persoalan mengapa seminar tersebut diadakan, dan apakah matlamat sebenar program tersebut memandangkan isu yang dibawa adalah isu yang sensitif dan hangat diperdebatkan iaitu isu penggunaan kalimah Allah.
Terdapat beberapa dakwaan yang timbul dari beberapa pihak yang menuduh pihak ACIS melaksanakan seminar tersebut bagi menghasut minda pelajar-pelajar UiTM yang rata-ratanya anak Melayu beragama Islam untuk membenci dan menjauhi penganut agama Kristian.
Bagi mendapatkan keseimbangan berita, pihak FMT cuba memberi ruang kepada pihak UiTM terutamanya ACIS untuk menjelaskan sendiri perkara tersebut.
Oleh yang demikian, Wartawan FMT sendiri telah hadir ke ACIS, di UiTM Shah Alam, bagi mendapatkan penjelasan dekannya iaitu Prof Dr Muhammad Rahimi Osman.
Masih segar dalam ingatan, tepat jam 2 petang, wartawan FMT melangkah ke pejabat ACIS, dan disambut dengan baik oleh seorang kerani. Setelah memperkenalkan diri dan menyatakan hasrat untuk bertemu dengan dekan tersebut, kerani tersebut meminta wartawan FMT untuk menunggu.
Setelah menunggu lima minit…
Setelah menunggu selama lima minit, kerani tersebut menyatakan bahawa dekan tersebut mempunyai dua tetamu yang sedang menunggunya selain akan bergegas untuk pergi ke lokasi seterusnya.
Hasrat wartawan FMT untuk bertemu dengan dekan tersebut terbantut ekoran, kekangan masa Dr Muhammad Rahimi untuk ditemubual walaupun hanya seketika. Ketika itu, wartawan FMT masih lagi berfikiran positif, mungkin kerana dekan ACIS tidak bersedia untuk bertemu ekoran tiada temujanji yang dilakukan.
Tidak terhenti di situ, pihak FMT cuba menghantar kiriman emel kepada dekan ACIS bagi mendapatkan penjelasan atas beberapa perkara seperti tuduhan yang dilemparkan terhadap UiTM, kredibiliti panel-panel yang hadir, dan naskhah buku yang diberikan kepada pelajar-pelajar.
Kerana desas-desus mengatakan bahawa panel-panel tersebut memalsukan identiti dan latar belakang akademik mereka dan status mereka.
Selain itu, peserta program tersebut juga telah diberikan buku secara percuma iaitu sebuah buku bertajuk Pendedahan Agenda Kristian dan sebuah lagi buku terbitan Mais iaitu Kewajipan untuk mengekalkan Kesucian Nama Allah.
Harapan hanya tinggal harapan. Hampir setiap hari membuka emel, menunggu dan melihat sama ada mendapat balasan emel daripada dekan tersebut gagal, kerana emel telah berjaya dihantar namun tiada balasan yang diterima.
Pada hari wartawan FMT berkunjung ke pejabat ACIS, pihak FMT telah membuat satu temujanjii untuk menemubual dekan tersebut secara eksklusif.
Tarikh yang ditetapkan pula adalah beberapa hari selepas kunjungan wartawan FMT ke pejabat ACIS.
Dekan sibuk
Namun, setelah tiba hari yang ditetapkan, sekali lagi hasrat untuk mendapatkan penjelasan daripada dekan ACIS gagal ekoran dihubungi oleh pihak ACIS yang mengatakan bahawa dekan tersebut sibuk.
Persoalannya di sini, adakah pihak ACIS memandang remeh berkenaan perkara ini sehingga lebih mementingkan perkara-perkara lain, kerana temujanji telah pun dilakukan sebelum ini.
Kecewa. Itu sahaja perasaan yang dapat digambarkan dengan tindakan dekan ACIS yang berdolak dalik dalam menjelaskan perkara tersebut.
Hingga hari ini, tiada penjelasan yang dibuat oleh mana-mana pihak UiTM bagi menjelaskan kepada masyarakat dan minda rakyat terus ditanam dengan persepsi bahawa UiTM kekal sebagai universiti rasis.
Dengan tindakan pihak ACIS yang terus mengunci mulut, ia membolehkan pihak-pihak yang berniat jahat menikam dan menggugat kesejahteraan UiTM dan lebih teruk lagi memburukkan nama baik UiTM di mata masyarakat dan ditambah lagi dengan pelaporan media terhadap UiTM yang lebih berunsur negatif.
Jelas hingga kini, pihak UiTM terus kekal sebagai sebuah universiti yang berani untuk mengadakan program yang berunsur sensitif atas dasar program ilmiah namun setelah diminta mendapatkan komen mahupun penjelasan terus diam membisu ibarat kata pepatah baling batu sembunyi tangan.
Nampaknya, pihak pengurusan tertinggi UiTM lebih berminat dan peka untuk memberi maklum balas terhadap calon DAP, Dyana Sofya yang bertanding di Teluk Intan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan