Sewaktu DAP ghairah mempertaruhkan
seorang calon Melayu untuk "merempuh hadangan perkauman" di Teluk Intan,
parti itu nampaknya terlepas pandang akan keberkesanan langkah itu buat
segelintir pengundi.
Entah di mana silapnya, selepas empat hari berkempen, Dyana Sofya Mohd
Daud, 27 tahun, seorang peguam yang kini bertugas sebagai setiausaha
politik kepada pemimpin veteran DAP, dilihat belum cukup 'menawan' di
mata pengundi Melayu yang setia mengundi BN pada pilihan raya umum lalu.
"Calon DAP ini 50-50 (peluangnya).
"Orang kampung di sini kata calon DAP ini Melayu, tapi 'tauke' dia Cina.
"Mah Siew Keong (calon BN) ini Cina, tapi tauke dia Melayu," kata Sunar
Senin, 50 tahun, seorang penjawat awam dari Kampung Tengah.
"Sini orang kata kubu BN, kalau dia (pembangkang) datang dan mahu
dapatkan 10 peratus (undi) pun payah," kata Sunar yang secara terbuka
mengaku terlibat dengan kempen BN.
Menurut Sunar, isu pembangunan masih lagi merupakan isu utama yang menjadi pertimbangan pengundi di kawasan itu.
Jelasnya, kehadiran seorang wakil rakyat BN memastikan kemudahan asas
seperti jalan, lampu jalan raya dan sebarang permohonan bantuan
diluluskan dengan mudah.
Bagaimana pun, beliau mengakui bahawa pengundi-pengundi muda di kawasan
itu yang bekerja di kawasan bandar di luar Teluk Intan cenderung
mengundi pembangkang.
Ini kerana golongan tersebut katanya, "tetap akan mempunyai lampu jalan"
di kawasan rumah mereka tanpa mengira sesiapa sahaja yang mereka undi.
Di kawasan kampung yang harga kopi 'O' masih lagi cuma 80 sen secawan,
mesej anti-GST yang dibawakan DAP dalam siri ceramah mereka mungkin agak
sukar untuk dirasakan oleh pengundi.
"Dia orang (pengundi) akan tapis (kempen DAP), macam GST, bukan semua
barang kena cukai," kata Sunar yang maklum barangan keperluan asas
seperti beras, gula dan tepung tidak dikenakan GST.
"Baju (yang dikenakan cukai GST kelak) pun bukan selalu beli, setahun sekali sahaja beli," katanya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu ditemui di sebuah kedai kopi di Kampung Ayer Hitam.
Kampung Ayer Hitam terletak dalam kerusi DUN Changkat Jong, yang
dimenangi BN dengan majoriti 1,118 daripada 23,281 undi pada pilihan
raya lalu.
Selain Changkat Jong, satu lagi kerusi DUN di bawah Parlimen Teluk Intan
adalah kerusi Pasir Bedamar, yang dimenangi DAP dengan majoriti selesa
sebanyak 13,037 undi.
Kampung Ayer Hitam adalah sebuah kampung yang terletak bersebelahan dengan Kampung Baru Batu 12 dan Kampung Baru Batu 13.
Calon DAP, Dyana Sofya hanya dijadualkan turun bertemu pengundi di
Kampung Ayer Hitam pagi ini, walaupun tiga hari lalu (Rabu) turun ke
Kampung Baru Batu 12, sebuah kawasan majoriti orang Cina, dan kawasan
'selesa' buat DAP.
Seorang lagi pengundi, Ngatimin Sarjo, 69 tahun, seorang pesara tentera turut melahirkan sentimen hampir sama dengan Sunar.
Ditanya tentang kecenderungannya untuk mengundi calon mana, Ngatimin menjawab:
"Undi memang tetap BN. Sekarang hidup dah senang, tak banyak harta tapi
ada sikit, kalau (kawasan ini) dapat pada orang lain (DAP), macam mana
esok?," katanya.
"Kita ini pencen, ada rumah sendiri, ada motosikal (sendiri) sudah cukuplah," katanya lagi.
Menurutnya, beliau belum pernah berkesempatan menemui Dyana Sofya sejak tempoh kempen bermula.
"Tak tahu peribadi (dia), baru nak undi baru dia datang. Tak pernah jumpa lagi, jumpa gambar (poster) sahaja," katanya.
Seorang lagi penduduk tempatan, Mohd Ansor Halil, 44 tahun percaya
bahawa sesiapa pun yang menjadi wakil rakyat tidak membawa sebarang
perbezaan buat penduduk di situ.
Beliau yang akan mengundi buat kali keenam mengaku mengundi sekadar
untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang warganegara.
"Bagi saya tak ada apa-apa (beza wakil rakyat BN atau DAP). Cuma
(menunaikan) tanggungjawab kita, apa pun tak ada, sama sahaja," katanya.
Berdasarkan kempen selama lima hari yang berlangsung sejak penamaan
calon secara rasmi pada 20 Mei lalu, majoriti undi daripada Changkat
Jong dijangka kekal bersama BN dalam pilihan raya kecil Teluk Intan.
Namun, sejauh mana ia mampu menyaingi kemenangan selesa DAP di Pasir
Bedamar yang menyumbang kepada kemenangan DAP di Teluk Intan dalam dua
pilihan raya sebelum ini, belum dapat dipastikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan