SHAH ALAM : Sebarang bentuk undang-undang di dunia yang tidak
dilaksanakan secara adil dan telus akan menjejaskan perpaduan dan
kesejahteraan kaum, tegas bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr
Mohd Asri Zainul Abidin.
Ini sekali gus menolak tanggapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Tan Sri Joseph Kurup yang sebelum ini berkata isu hukum hudud boleh
menjejaskan perpaduan pelbagai kaum dalam negara.
Justeru itu, menurut Asri adalah penting bagi umat Islam memberikan
kefahaman yang mendalam dan terperinci mengenai hukum hudud kepada bukan
Islam agar ia tidak dipandang serong.
"Yang menjejaskan perpaduan itu bukan hukum. Sebaliknya ketidakfahaman (hukum hudud). Jadi kita kena beri mereka kefahaman.
"Jika kena caranya (pelaksanaan). Jika tidak kena caranya, ia akan
menjejaskan. (Maksudnya) Ia menjejaskan pelaksanaan, bukan hukum hudud.
Apa undang-undang pun, jika dilaksanakan secara salah akan menjejaskan
perpaduan (kaum)," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
Menerusi program Meja Bulat yang dianjurkan bersama Pergerakan
Kesederhanaan Global (GMM) dan Jawatankuasa Dasar Nasional dan
Undang-undang Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC) semalam,
Joseph menyatakan kebimbangan bukan Islam mengenai hudud tidak
seharusnya dibiarkan berleluasa.
Ujarnya perasaan sedemikian adalah normal memandangkan mereka berkemungkinan tidak didedahkan dengan undang-undang Islam itu.
Sehubungan itu, Joseph menggesa lebih banyak program perbincangan dan
dialog perlu diadakan untuk mendekati dan memberi kefahaman kepada bukan
Islam.
Bersetuju dengan cadangan itu, Asri kemudiannya berkata penentangan
yang dibuat oleh masyarakat, lebih-lebih lagi bukan Islam adalah kerana
mereka masih kabur dengan cara pelaksanaan hukum hudud tersebut.
"Yang kita bincangkan (sebelum ini) adalah bagaimana nak
melaksanakannya. Hukum seperti menghukum pencuri itu kita setuju, cuma
bagaimana nak melaksanakannya?
"YADIM akan buat perbincangan pada 29 Mei ini yang turut mengajak bukan
Islam untuk sertai. Semasa di Wacana Sinar Harian, wakil MCA turut
ada," katanya lagi.
Program Meja Bulat itu menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif GMM Datuk
Saifuddin Abdullah sebagai moderator manakala anggota panelnya terdiri
daripada Pengerusi Yayasan 1Malaysia, Dr Chandra Muzaffar; Penasihat
Undang-undang Universiti Teknologi MARA Profesor, Datuk Dr Shad Saleem
Faruqi dan Presiden Majlis Peguam Malaysia, Christopher Leong.
Perbincangan itu bertujuan mengumpul pandangan daripada pakar
perundangan dan pemimpin masyarakat daripada pelbagai latar belakang
dalam memberikan panduan terhadap Jawatankuasa Teknikal yang ditubuhkan
Kerajaan Pusat dan Kerajaan PAS Kelantan berhubung Rang Undang-undang
Hudud Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan