HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Mei 2014

Sumpah Anak Bumi UiTM bidas Dyana Sofea

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) menggariskan Sumpah Anak Pribumi yang antara lain menyifatkan calon DAP di Teluk Intan, Dyana Sofea Mohd. Daud sebagai bermulut celupar kerana mempertikaikan kedudukan universiti tersebut untuk kaum Melayu dan bumiputera.
 
Sumpah yang dibacakan dalam Deklarasi Shah Alam di Rumah Alumni di sini, turut menganggap Dyana Sofea sebagai bekas pelajar universiti tersebut telah mensahihkan kata-kata orang tua-tua 'kerana nila setitik rosak susu sebelanga'. 
 
Justeru, alumni itu menyeru semua pihak supaya:
 
"Menghentikan dengan serta-merta segala perbuatan dan tindakan cuba mempertikai dan menggugat kedudukan UiTM sebagai institusi pendidikan tinggi anak bangsa serta Bumiputera Sabah dan Sarawak.
 
"Menghentikan meniup api perkauman dan sentimen anti-Melayu dan anti-bumiputera dengan mempertikai dan menggugat kedudukan UiTM disebabkan keceluparan Dyana Sofya, calon DAP Parlimen Teluk Intan, yang mensahihkan kata-kata orang tua-tua 'kerana nila setitik rosak susu sebelanga'," kata Sumpah Anak Pribumi itu di sini.
Presiden Alumni UiTM adalah Penolong Ketua Editor 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan (gambar) yang terkenal dengan tulisan tajamnya berkaitan soal kepentingan Melayu dalam ruangan Cuit, setiap Rabu di Utusan Malaysia.
 
Dalam kolum Cuit pada 14 Mei lalu, Zaini menjangkakan Dyana Sofea bakal dipilih DAP sebagai calon bertanding di Teluk Intan dan ramalan tersebut menjadi kenyataan tiga hari selepas itu apabila DAP mengumumkan calonnya.
 
Baru-baru ini, calon DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, Dyana Sofea mempertikaikan kedudukan dan peranan UiTM yang hanya menyediakan tempat untuk kaum Melayu melanjutkan ke pengajian tinggi.
 
Ini kerana Dyana Sofea berpendapat UiTM yang ditubuhkan untuk membantu Melayu itu sepatutnya dibuka juga kepada bukan Melayu demi memberi akses pendidikan yang sama rata kepada semua kaum.
 
Sumpah tersebut juga memberi amaran akan bertindak keras dan tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba memainkan isu perkauman dengan memperikai atau menggugat kedudukan UiTM.
 
"Mana-mana pihak yang cuba mempertikai atau menggugat kedudukan UiTM kami anggap sebagai penderhaka dan adalah musuh negara yang wajib ditentang habis-habisan," kata sumpah berkenaan.
 
Dalam bahagian maklumat tambahan, deklarasi itu memberitahu, UiTM sejak 1980 telah membantu pelajar bukan Melayu termasuk Cina dan India dalam program pra luar negara (INTEC UiTM).
 
Katanya, program kerjasama JPA/MARA/PETRONAS telah menghantar puluhan ribu pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran ke luar negara, seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand, Australia dan sebagainya. 
 
"Begitu juga progam A-Level di German melibatkan ribuan pelajar bukan Melayu. Fakta ini menunjukkan bahawa UiTM telah lama membantu pelajar bukan Melayu dalam pendidikan nasional.
 
"Persoalannya berapa pula Orang Melayu yang diusahakan oleh UNITAR atau KTAR?," soalnya.
 
Mengenai dakwaan Dyana Sofea bahawa menjadi pelajar UiTM tidak bermakna mesti menjadi ahli UMNO, persatuan itu menjawab, universiti itu semenangnya bukan milik UMNO atau Barisan Nasional dan para pelajarnya tidak perlu terikat kepada parti itu.
 
"Sememangnya tiada mana-mana akta atau arahan bahawa pelajar UiTM perlu terikat dengan parti. UiTM tetap mendokong demokrasi. Namun atas dasar orang yang tahu mengenang budi dan tahu membalas budi maka menjadi hak pelajar untuk menyokong BN dan UMNO.
 
"Sementelah pemerintah Kerajaan Pusat sekarang adalah Kerajaan BN sejak dahulu hingga kini, maka UiTM akur dan mempunyai aspirasi yang sama," katanya.

Tiada ulasan: