Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap dalam sesi Dialog Anak Muda di Sunway Resort Hotel, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI 
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap dalam sesi Dialog Anak Muda di Sunway Resort Hotel, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI


KAJANG – Ketua Umum Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikai tindakan Umno menjadikan isu terhadap kenyataan Adun DAP (Seri Delima) RSN Rayer yang mengeluarkan perkataan kesat dalam Sidang Dun Pulau Pinang, Selasa lalu.

Menurutnya, andai kenyataan itu disifatkan bermasalah, Rayer sepatutnya ditegur di dalam sidang itu dengan membawa usul bukan dengan cara menyerang dan mengugut.

“Mengapa kenyataan Rayers menjadi masalah kepada Umno? Kalau ya pun masalah, tegurlah. Bawa usul. Jangan bawa cara tindakan biadab.

“Ini nak cuba pertahankan serangan terhadap Dun kerana satu kenyataan. Kalau itu jadi ukuran, berapa kali kita harus serang Parlimen kerana sikap dan kenyataan biadab pimpinan Umno dan menteri? Tapi kita tak boleh lakukan begitu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis meraikan perkahwinan anak perempuannya, di sini.

Beliau juga menyebut mahu menanti tindakan pihak berkuasa terhadap serangan tersebut.

“Saya nak tengok sejauh mana tindakan diambil. Tapi saya yakin... saya sendiri berpengalaman, baling batu pada bas ketika saya berkempen, apa tindakan? Tidak ada,” katanya.

Malah Anwar mengingatkan pemimpin Umno bahawa dirinya sendiri telah dihina sejak berpuluh tahun lamanya.

 “Cara menyerang ini cara biadab. Menggunakan samseng untuk mengugut orang. Saya tidak anggap tindakan menyerbu Dun ini ringan.

“Mainkan sentimen ‘sebab’. Oh sebab orang maki saya, adakah saya terajang orang Umno itu? Tak boleh.

“Kita mesti hormat proses undang-undang. Menteri dalam negeri selain daripada polis harus mengambil tindakan. Menjamin keselamatan rakyat tak kira sama ada kawan atau musuh politik,” katanya.