SHAH ALAM - Polis memberkas tiga anggota kumpulan pengganas Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE), selepas melancarkan satu operasi khas pada 15 Mei lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, ketiga-tiga warga asing itu ditahan kira-kira 12.10 tengah hari dalam operasi serentak oleh bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman di sekitar Petaling Jaya dan Klang.
Beliau berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek itu menyusup masuk ke Malaysia sejak 2004 dan menjadikan negara ini sebagai pangkalan mengumpul dana, menyebarkan propaganda selain bertujuan menghidupkan aktiviti kumpulan LTTE.
"Turut dirampas antaranya bahan propaganda kumpulan, peralatan media serta pelbagai tunai mata wang asing daripada 24 negara berjumlah RM 20, 176.53.
"Siasatan mendapati ketiga-tiga-tiga suspek menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) untuk menetap di negara ini selain mengelak diambil tindakan oleh pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, seorang daripada mereka dikesan memiliki permit pekerjaan atas sebuah syarikat tidak wujud.
Katanya, kesemua suspek berusia lingkungan 30 ke 40-an itu ditahan untuk siasatan di bawah Akta Imigresen.
Difahamkan seorang daripada tiga suspek ditahan bertindak sebagai ketua risikan bagi kumpulan tersebut.
Khalid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan UNCHR Kuala Lumpur bagi memastikan anasir-anasir pengganas asing tidak mengeksploitasi kemudahan kad UNCHR untuk menjadikan Malaysia pangkalan operasi, berlindung dan menjalankan sebarang aktiviti keganasan.
"Kita dah lancarkan operasi mengesan LTTE sejak 2009 dan bagi tempoh itu sehingga tahun lalu, seramai lapan pemimpin tertinggi kumpulan terbabit yang bersembunyi di negara ini berjaya kita tahan.
"Dengan penahan tiga lagi anggota kumpulan LTTE baru-baru ini menjadikan tangkapan keseluruhan seramai 11 orang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan