KOTA BHARU - Enam beradik berusia 4 hingga 15 tahun tercicir persekolahan disebabkan kemiskinan hidup sehingga ibu mereka terpaksa meminta sedekah dari rumah ke rumah di Kampung Bunut Satut, Dewan Beta, di sini.
Lebih menyedihkan, Norlizawati Ariffin, 35, disahkan menghidap kanser tiroid sejak tahun lalu dan perlu dibedah dalam masa terdekat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Norlizawati berkata, harapannya kini agar sembuh daripada kanser dan mahu anaknya bersekolah.
"Sebab itulah, saya perjuangkan hak mendapatkan sijil kelahiran mereka. Saya mahu mereka bersekolah seperti remaja dan kanak-kanak lain.
"Demi mereka juga, saya sanggup minta sedekah dari rumah ke rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Enam anaknya, Zulkhairi Azmi, 15; Nor Syuhaida, 13; Zulkhairul Nizam, 10; Zulkhairil Amri, 9; Zulkhalid Azwa, 8, dan Zulkhazi Imran, 4, tidak pernah bersekolah.
Menurutnya, semua anaknya itu sukar mendapatkan sijil kelahiran selepas sijil pernikahannya di Thailand hilang.
Namun katanya, empat daripada mereka berjaya memiliki sijil kelahiran berkenaan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Kok Lanas.
“Dua anak saya belum menerima surat untuk mengangkat sumpah bagi mendapatkan sijil kelahiran tetapi permohonan telah dibuat dan kini menunggu surat berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, keluarga tersebut tinggal di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 2006 dan kisah kemiskinan mereka juga pernah tersiar di akhbar tempatan, namun setelah berita tersiar, ada pula pihak menuduh mereka terlibat dalam sindiket.
“Saya nafikan hal ini, mentang-mentang saya minta sedekah, orang kata saya terlibat dalam sindiket, sebab itulah saya takut berhadapan dengan media. Saya takut masyarakat sekeliling buat pelbagai tuduhan.
“Saya tidak ada kudrat sebab sakit. Kanser tiroid ini asalnya sebesar biji guli dan sekarang tahap lima hingga enam biji, sudah membesar. Saya juga mengalami keadaan berdebar sehingga tangan sentiasa terketar-ketar,” katanya sambil menangis.
Lebih malang bagi keluarga tersebut apabila anak sulung, Zulkhairi sudah dua kali menjalani pembedahan di bahagian abdomen setelah mengalami masalah usus terbelit (tidak boleh buang air besar).
Anak yang bongsu pula menghidap asma dan perlu menggunakan alat pernafasan setiap kali mengalami lelah.
Mereka kini tinggal di rumah sewa dengan bayaran RM80 sebulan, hanya di belakang rumah usang, menggunakan dapur kayu dan air perigi pada bahagian dapur rumah setelah ketua keluarga, Zulkifli Abdul Rashid, 56, baru seminggu ke Kuala Lumpur bekerja sebagai pengawal keselamatan.
“Suami baru sahaja menjalani pembedahan mata selepas terkena jangkitan kuman, selepas itu dia terus ke Kuala Lumpur kerana mahu mencari rezeki menyara keluarga, katanya sudah serik berhutang dengan jiran terdekat,” katanya yang pandai membuat kek.
Kesempitan hidup keluarga itu mendapat simpati daripada rakan Norlizawati iaitu Nor Azura Mohd Adnan, 32, yang sering menghantar makanan kepada mereka.
Ketika kehadiran Sinar Harian semalam, pemilik rumah sewa, Mat Zin Salleh, 63, mewakili abangnya, Pak Su Lah memaklumkan, keluarga berkenaan dibenarkan tinggal percuma di rumah itu memandangkan banyak sewa tertunggak sejak awal tahun ini.
“Kami kasihan lihat mereka tiada duit meneruskan hidup, anak ramai dan kadang-kadang berhutang atau meminta sedekah, jadi kami benarkan mereka tinggal di sini,” katanya.
Individu yang mahu menghulurkan bantuan boleh datang ke rumah keluarga tersebut di Kampung Bunut Satut, Dewan Beta atau menghubungi 019-9980788 (Norlizawati) dan pemaklum maklumat, 014-8486244 (Che Nah).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan