HALAMAN SANTAI
Isnin, 26 Mei 2014
NGO gesa umat Islam saman Jakim, KKM berhubung isu coklat DNA babi
Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menggalakkan umat Islam mengambil tindakan terhadap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung kelewatan mereka mengesan produk coklat yang mengandungi DNA babi.
Presiden JMM, Azwanddin Hamzah berkata, selain permohonan maaf daripada syarikat pengeluar coklat tersebut, Cadbury Malaysia, Jakim dan KKM juga seharusnya mengemukakan permohonan maaf atas kelewatan mereka mengesan DNA babi dalam produk tersebut.
"Mungkin ada ketirisan berlaku dalam Jakim, tetapi saya tidak mahu menuduh, nanti mereka saman saya pula. Saya galakkan pengguna saman Jakim," katanya pada satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
JMM juga katanya akan menghantar memorandum kepada Jakim dan KKM disebabkan insiden tersebut.
Ketika sidang media di Ibu Pejabat JMM, Azwanddin berkata pihaknya dengan kerjasama Sukaguam akan mengemukakan saman terhadap syarikat Cadbury Malaysia kerana produk mereka mengandungi sampel DNA babi.
Syarikat itu katanya menipu umat Islam di negara ini dengan mengeluarkan produk mengandungi DNA babi kerana pasaran terbesar mereka adalah umat Islam dan komuniti Melayu.
"Ini penipuan jahat dan harus dibendung," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JMM di Selangor petang tadi.
"Bagi kalangan masyarakat Islam ini adalah penghinaan yang amat dahsyat. Tidak sepatutnya keluarkan produk itu," katanya.
Azwanddin ketika sidang media itu juga berkata, beliau amat marah dengan insiden tersebut kerana beliau sendiri memberikan anaknya coklat tersebut.
"Anak saya pun sudah makan coklat-coklat haram itu," katanya.
Pihaknya juga menerima sokongan daripada ramai individu yang sedia tampil bersama mereka untuk mengambil tindakan terhadap Cadbury Malaysia.
"Kita terima 700 e-mel menyatakan kerjasama mereka untuk mengambil tindakan guaman terhadap Cadbury.
"Kita juga mempunyai lebih 50 individu yang memiliki resit dan bukti pembelian dua produk coklat yang mempunyai DNA babi," katanya.
Azwanddin berkata, permohonan maaf syarikat tersebut tidak memadai memandangkan perkara sebegitu seringkali berulang.
"Mereka sudah sumbat babi dekat mulut kita kemudian baru nak minta maaf.
"Cadbury sudah berpuluh tahun bertapak di Malaysia, kenapa tidak faham sensitiviti umat Islam?
"Mereka ada makmal cukup besar, kenapa beri alasan sama dan sekadar mohon maaf? Bagi saya dan umat Islam itu tidak memadai," katanya.
JMM juga katanya akan menubuhkan sebuah pasukan khas untuk mengumpul umat Islam dan menyediakan pasukan guaman secara percuma bagi tujuan tuntutan gantirugi umat Islam.
"Ada 80 pasukan NGO Melayu Islam untuk saman Cadbury, dengan anggaran saman bernilai RM100 juta," katanya.
Beliau berkata, antara akta yang dipertimbangkan JMM dan Sukaguam untuk dikemukakan bagi tindakan undang-undang tersebut adalah di bawah Seksyen 50 Akta Perlindungan Pengguna.
"Kalau boleh kita mahu tutup syarikat Cadbury," katanya.
Cadbury sebelum ini mengesahkan mereka menarik balik dua produk yang mengandungi DNA babi iaitu, adalah Cadbury Dairy Milk Hazelnut (nombor keluaran 200813M01Hh I2 yang tamat tempoh pada 13 November 2014) dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond (nombor keluaran 221013N01R I1 yang tamat tempoh pada 15 Januari 2015).
"Kami turut memberi jaminan semua produk keluaran Malaysia kami yang lain tidak terjejas dengan ujian yang dijalankan," kata Ketua Pegawai Perhubungan Korporat Cadbury Malaysia, Raja Zalina Raja Safran dalam satu kenyataan sebelum ini.
Mengakui kesilapan pertama kali dilakukan Cadbury, Raja Zalina berkata pihaknya memahami isu status halal penting kepada komuniti masyarakat Islam di negara ini dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan.
KKM sebelum ini mengesahkan kewujudan DNA babi (porcine) dua daripada tiga sampel coklat Cadbury yang diambil bagi tujuan pemantauan.
Bagaimanapun sampel coklat susu Cadbury Dairy Milk Chocolate disahkan tidak mengandungi porcine
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan