KUANTAN - Penjualan produk halal yang sebenarnya mengandungi bahan tidak halal merupakan satu penipuan dan penganiayaan kepada umat Islam.
Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, umat Islam dinasihatkan supaya tidak membeli atau makan produk makanan di pasaran sekiranya status halalnya diragui apatah lagi yang jelas mengandungi DNA babi.
Menurutnya, beliau menyokong langkah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggantung sijil halal dua produk Cadbury kelmarin.
“Sebagai umat Islam, mereka patut berhenti membeli dan memakan produk itu atau sebarang makanan diragui status halalnya.
“Di sebalik halal haram sesuatu makanan itu, di tengahnya ada yang disifatkan sebagai samar-samar dan itu juga dilarang kepada umat Islam untuk memakannya, apatah lagi yang jelas haram,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Abdul Rahman berkata, umat Islam terutama ibu bapa perlu memainkan peranan menjelaskan perkara ini kepada anak-anak supaya mereka tidak membeli sesuatu produk diragui status halalnya walaupun disukai ramai.
“Pada masa yang sama, kita juga kena berhati-hati dan jika perlu semak kandungan bahan sesuatu makanan itu sebelum membelinya.
“Jika diragui atau tiada logo halal sah dikeluarkan Jakim, jangan beli dan buat pilihan produk lain,” katanya.
Beliau berkata, setiap orang sebagai umat Islam perlu memainkan peranan dan perkara ini perlu diberi perhatian serius supaya umat Islam tidak tertipu dan terpedaya dengan makanan haram yang ‘halal’ di pasaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan