NGO pendesak Melayu, PERKASA menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggugurkan portfolio perpaduan yang dipegang Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.
Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata, portfolio itu harus diberikan kepada menteri lain kerana Kurup dianggap tidak layak memegangnya lagi, ekoran kenyatannya berhubung hudud.
“Saya mengutuk keras kenyataan Joseph Kurup dalam The Star hari ini. Katanya hudud ini menyinggung perasaan, jadi saya tanya, kenyataan penentangan kepada hudud itu tidak menyinggung perasaan orang Islamkah?
“Saya mahu perdana menteri menyingkirkan beliau (Kurup) dengan menukar portfolionya dengan menteri lain, " katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghantar memorandum menyokong pelaksanaan hudud kepada kedutaan Brunei di Kuala Lumpur, petang ini.
Akhbar The Star hari ini melaporkan Kurup berkata cubaan PAS memperkenalkan hudud bukan satu petanda baik untuk perpaduan negara, integrasi dan keharmonian di negara ini.
Beliau berkata perdebatan mengenai hudud tidak baik untuk pembangunan, pengukuhan dan integrasi perpaduan dalam masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya sekaligus boleh menyebab bukan Islam tidak gembira.
Ibrahim berkata, kenyataan Kurup juga mengganggu keharmonian dan perpaduan antara kaum di Malaysia.
Beliau juga berpendapat Kurup “berat sebelah” dalam soal agama Islam kerana hanya mempertahankan sebelah pihak.
“Jadi kalau dia tak ada perasaan ini macam mana dia promosi perpaduan nasional.
"(Pada) Joseph Kurup, kepentingan agama-agama lain sahaja yang penting pada dia, umat Islam tak penting. Ini bukan elemen perpaduan nasional,” katanya.
Sementara itu, Ibrahim juga menyifatkan penentangan parti politik dan NGO terhadap perlaksanan hudud untuk meraih “kepentingan politik” semata-mata.
Ibrahim menyifatkan penentangan itu bertentangan amalan demokrasi dan kebebasan bersuara.
“Sepatutnya dalam negara demokrasi mereka memberikan peluang kepada umat Islam yang dirasakan baik apatah lagi berdasarkan ajaran Islam.
“Sekarang dah ditubuhkan jawatankuasa teknikal antara kerajaan pusat dan kerajaan Kelantan, tunggu sahajalah mereka buat kerja.
“Biar bahas di Dewan Rakyat dulu, barulah (nyatakan pendirian) nak sokong ke tak nak sokong ke. Tentangan ini saya nampak tentangan kepada seluruh Islam,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan