Oleh Ooi Kok-Hin
Terlebih dahulu, saya mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua rakyat Malaysia sama ada yang di tanah air atau di perantauan.
Mudah-mudahan
juga dalam “mood” perayaan ini, para pemimpin Pakatan Rakyat dan
barisan penyokong dapat menyusun gencatan senjata dan merenung kembali
perjalanan 15 tahun bersama.
Ianya bukan satu jalan
yang lurus, bahkan berliku-liku. Kadang-kadang kamu berkongsi gembira,
bermuzarakah dalam mesyuarat sehingga lewat malam, bersolidariti dalam
demonstrasi, dan bertolak-ansur demi kepentingan yang lebih besar.
Ada kalanya pula kamu bertekak, mempertikaikan posisi dan
kenyataan yang lagi satu, atau tidak mengendahkan satu sama lain. Apa
pun, pahit manis diharungi bersama di bawah satu rumah sehingga
sekarang.
Lima belas tahun lalu, PAS membentuk Barisan Alternatif (BA) bersama-sama Parti Keadilan Nasional, DAP dan Parti Rakyat.
Keempat-empat presiden parti, iaitu Allahyarham Ustaz Fadzil Noor,
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang dan Dr Syed Husin Ali
menunjukkan solidariti dengan membentuk BA dan mengeluarkan “manifesto
bersama ke arah Malaysia yang adil”.
Antara fokus manifesto
bersama itu adalah menentang korupsi dan percabulan hak asasi,
mengukuhkan ekonomi dan mengurangkan beban rakyat, dan membina
demokrasi, perpaduan nasional dan kontrak sosial yang menuju alaf baru.
Lihat sahaja isu ini masih kritikal pada masa sekarang dan ini
merupakan bukti kepada satu fakta yang tidak begitu mendapat perhatian
media dan disklusi politik: perjuangan belum selesai!
Benar,
DAP keluar daripada BA selepas PAS tegas dengan komitmen menubuhkan
Negara Islam. Saki-baki BA berpecah berikutan perundingan kerusi yang
panas.
Akibatnya bukan sahaja hasrat mana-mana pihak termasuk
impian Negara Islam tidak tercapai, malah Umno-Barisan Nasional menang
besar dalam pilihanan raya seterusnya.
DAP tidak ke mana,
Keadilan hampir pupus dan PAS kehilangan Terengganu sampai hari ini
.
Kegagalan politik menyediakan “check and balance” menimbulkan pelbagai
isu yang melanda negara – rasuah berleluasa, pihak berkuasa angkuh,
kroni semakin rakus, golongan pelampau menjadi berani dan sombong,
ekonomi “stagnant” dan rakyat berpecah.
Negara semakin jauh dari semua fokus dan impian yang digariskan dalam manifesto bersama kerana ahli politik kehilangan fokus.
Fokus itu amat penting dalam kehidupan. Kita tidak boleh berlari sana sini dan mengejar segala apa benda setiap hari.
Kita tidak akan mencapai mana matlamat tanpa prioriti dan “sense of purpose”.
Begitu juga dalam politik. Para pemimpin dan penyokong parti politik
tidak harus berharap untuk mencapai “perfect justice” (jika berminat
mengetahui lebih lanjut, boleh khatam buku “The Idea of Justice” oleh
Amartya Sen).
Sebaliknya, para pejuang boleh mencapai lebih
banyak matlamat dengan mengenalpasti ketidakadilan yang boleh
dihapuskan atau dikurangkan. Usaha ini perlu ada prioriti.
Jika tidak ada fokus dan “sense of purpose”, pemimpin politik
seolah-olah menunggu isu berbangkit kemudian baru memberi respons,
seperti yang berlaku sejak PRU13 berakhir.
Dari sudut pandangan
seorang rakyat biasa yang tidak ada maklumat dalaman, kelihatan
Pakatan kehilangan fokus selepas PRU13 dan hanya bertindak “reactive”
sejak itu. Lebih “direct” lagi, semangat itu dah hilang.
Tiada
fokus, makalah tiada arah tujuan dan tiada disiplin dalam kalangan
ahli. Segala apa benda keluar dari mulut kerana masing-masing tidak
dapat melihat gambaran yang lebih besar.
Sampai pula peringkat sindir-menyindir dan “name calling, all out in the open”.
Tidak boleh melakukan sebegini jika hendak menyelamatkan rumah. Orang suruh padam api, bukan bakar api.
Sekali lagi dari perspektif rakyat biasa yang terpisah dari
perbincangan politik pada peringkat tertinggi, kebanyakan dari kami
tidak tahu apa yang berlaku (atau sekurang-kurangnya “we don’t know
enough to really care to act”).
Sebab itu, bagi kami rakyat biasa yang terlalu jauh daripada sumber kuasa, siapa jadi menteri besar, kita tak kisah.
Asalkan individu itu dengan pasukan dapat mentadbir negeri dengan
berkesan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat selaras dengan impian
Malaysia yang lebih besar, kami redha.
Untuk keluar dari kemelut Selangor, kita harus tahu dan ingat fokus kita ialah untuk menyelesaikan masalah, bukan sebaliknya.
Metodologi kita mudah: dua soalan perlu dijawab secara berperingkat.
1) adakah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim begitu tersasar dari fokus
matlamat Pakatan Rakyat sehinggakan ianya satu kemestian (“necessity”)
untuk beliau berundur? Persoalan ini turut termasuk pertimbangan
kesediaan para pemimpin lain untuk terus bekerjasama dengan beliau dan
kapasiti kumpulan Pakatan Rakyat di Selangor untuk mengekalkan Selangor
dan membantu usaha mendekati Putrajaya. Persoalan ini harus
dimuktamadkan dahulu.
2) Jika jawapannya ya (kalau tidak, tak
perlu pun soalan ini. Boleh buat kompromi dan deal), siapakah calon
yang wajar mengganti beliau untuk mengecapi apa yang Khalid tidak atau
tidak dapat kecapi? Dari segi personal capacity dan pengalaman
pengurusan, Khalid memang sukar ditandingi.
Akan tetapi, keadaan yang
tidak memihak pengganti Khalid itu dapat diimbangi dengan kekuatan
sepasukan (“team strength and teamwork”).
Misalnya dalam
persiapan Belanda menghadapi juara dunia, mereka bermain formasi 4-3-3
dengan cemerlang. Namun kecederaan yang dialami pemain tengah Kevin
Strootman menyebabkan dia tidak dapat beraksi di Brazil.
Louis
Van Gaal tidak mencari pengganti Kevin Strootman yang boleh bermain
sebiji macam pemain itu. Sebaliknya beliau mengubah sistem mereka
kepada 3-4-1-2, 4-3-1-2, 5-4-1 atau formasi 4-3-3 yang sama tapi
peranan pemain pertahanan dan tengah diubah sedikit.
Mengikut
ungkapan pengurus Manchester United yang baru itu, “We don’t talk about
individual players. We talk about a team.” Maaf, pengajarannya,
keberkesanan sesebuah organisasi itu dapat mengatasi kekurangan
individu.
Dua soalan itu yang perlu dijawab sekarang. Soalan dan isu lain boleh dikemudiankan, ingat prioriti dan fokus.
Bukan mudah untuk sampai tahap kerjasama hari ini. Kamu lebih mengenali daripada kami.
Dari perjumpaan Sekretariat kecil-kecilan hingga konvensyen Pakatan Rakyat yang dihadir seribu delegasi.
Kerjasama secara lisan dan peribadi berkembang kepada manifesto bertulis dan gabungan Pakatan yang ada institusi dan prosedur.
Tidak dilupakan, kerjasama menubuhkan dan menguruskan lima kerajaan
negeri. Memang mudah untuk berfikir kerjasama ini sekadar untuk memenuhi
cita politik ke Putrajaya.
Namun sebahagian daripada rakyat
mengganggap kerjasama ini sebagai satu usaha idealis untuk
merealisasikan Malaysia yang lebih adil.
BA dan Pakatan ada
fokus dan prioriti seperti yang digariskan dalam manifesto bersama. Dan
matlamat itulah yang memperoleh sokongan dan amanah rakyat. Makalah
pemimpin mesti mengembalikan fokus kepada perjuangan jika tidak ingin
mengecewakan harapan dan kepercayaan rakyat.
Rumah yang didiami
bersama itu agak retak sekarang. Seolah-olah seperti keretakan dalam
sebuah rumah tangga, kamu boleh memilih untuk meninggalkan rumah begitu
sahaja, bercerai dan hidup seorang atau mencari pasangan lain.
Atau kamu boleh memilih untuk kekal, memperbaik keadaan dan
mematangkan hubungan. Dengar kata orang tua, ketika sesuatu perkara
buruk melanda sebuah rumah tangga, sama ada rumah tangga itu akan
hancur berkecai atau bertambah kukuh.
Saya berhenti setakat
ini sahajalah. Harap air setitik tidak dijadikan laut, rumah yang
mengambil masa 15 tahun untuk dibina dan harapan rakyat untuk sistem
politik yang lebih matang dan negara yang lebih adil dimusnahkan begitu
sahaja dalam sekelip mata.
Dalam masa yang mencabar ini,
wajarlah para pemimpin merenung kata sang pencinta dalam “The Fault in
Our Stars” – “Grief does not change you, Hazel. It reveals you.”