Foto satelit menunjukkan kawasan yang musnah yang musnah dalam kebakaran ekoran rusuhan terbaru sejak awal minggu ini. - Foto ihsan BBC Foto satelit menunjukkan kawasan yang musnah yang musnah dalam kebakaran ekoran rusuhan terbaru sejak awal minggu ini. - Foto ihsan BBC
 

[VIDEO] KAUM minoriti Islam Rohingya di Myanmar terus menjadi mangsa kebencian dan dianggap ancaman oleh kaum Rakhine yang menganut agama Buddha. Di negara yang mempunyai kira-kira 135 etnik itu, ketegangan ini bukan perkara baru. Kaum Rohingya ini telah berdepan ancaman penghapusan etnik, sejak puluhan tahun lalu.

Mereka dihalau, dibunuh, ditangkap dan dipaksa menjadi buruh serta dilabelkan sebagai ‘golongan yang tidak diingini’ termasuk dari kepimpinan tertinggi negara itu.

Asas keganasan dalam kes Rohingya adalah disebabkan perbezaan bangsa dan agama di negara itu sendiri.

Kaum Rohingya turut dituduh mahu merampas tanah serta peluang perniagaan kaum Rakhine dan cuba merampas kuasa melalui penambahan populasi.

Belajar daripada sejarah sudah jelas, pembunuhan orang Islam di Myanmar secara besar-besaran yang bukan pertama kali berlaku ini disokong malah dirancang oleh kerajaan negara itu.

Mungkin usaha masyarakat antarabangsa dapat mengubah corak keganasan ini?

Kecaman demi kecaman disuarakan pelbagai badan dunia tetapi sehingga kini, kaum ini terus menjadi mangsa.

Terbaru, 2 Julai lalu, rusuhan ganas tercetus lagi menyebabkan dua maut dan 19 cedera di Mandalay, bandar kedua terbesar di Myanmar.

Sejak itu, bandar tersebut diletakkan bawah perintah berkurung mulai 9 malam hingga 5 pagi.

Salah seorang lelaki yang maut itu lelaki Islam yang diserang semasa dalam perjalanan hendak ke masjid untuk solat Subuh. Lelaki itu dikatakan dibelasah oleh empat atau lima orang.

Menurut polis, samseng itu mengamuk kerana khabar angin mengenai satu kejadian rogol.

Polis memberitahu pihaknya maklum tentang dakwaan kes rogol itu tetapi masih belum membuat sebarang tangkapan.

Masyarakat Islam di serata Myanmar sering menjadi sasaran serangan rambang lazimnya akibat khabar angin atau onar mereka yang tidak bertanggungjawab.

Negara kita, Malaysia, antara negara yang bersimpati dengan nasib pelarian Rohingya dengan memberikan mereka perlindungan.

Berdasarkan statistik terkini Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian (UNHCR), jumlah pelarian Rohingya di Malaysia terus meningkat dengan angka rasmi sehingga 31 Mei 2014 yang lalu, mencecah 37,100 orang.

Namun, pelarian-pelarian ini tertakluk kepada peraturan-peraturan tertentu dan salah satu daripadanya adalah larangan bekerja di negara ini.

Menurut kenyataan bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad pada 15 Februari 2011, permintaan memberi permit kerja kepada pelarian adalah mustahil kerana Malaysia tidak mengiktiraf pelarian.

Pada Julai tahun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata kerajaan akan berbincang dengan UNHCR dan Jabatan Imigresen bagi mempertimbangkan kemungkinan membenarkan pelarian yang sah, bekerja berikutan terdapat keperluan mendesak guna tenaga kerja asing, di negara ini.

Sementara awal April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata pelarian dianggap sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) namun memegang kad UNHCR yang dibenarkan tinggal sementara, di negara ini.

Terbaru, sebuah badan yang turut memperjuangkan pelarian Rohingya menggelar diri mereka The Traveller menggesa kerajaan mengkaji semula sekatan bekerja yang dikenakan ke atas pelarian Rohingya berkenaan.

Menurut Pengerusi Lembaga Penasihatnya, Dr Ibrahim Ghaffar, bantuan demi bantuan dari orang ramai tidak dapat membantu menyelesaikan masalah setiap pelarian Rohingya di negara ini, ekoran mereka memerlukan pekerjaan untuk meneruskan hidup.

Sampai bila umat Islam di Myanmar ini akan terus dibunuh, ditindas dan dinafikan haknya?
Apakah masyarakat Islam dunia hanya mampu berdiam diri?

Di mana peranan ANDA untuk membantu?